Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, March 18, 2016

DARI HOBI JADI SUMBER REZEKI


Dari hobi jadi sumber rezeki


Bermula dengan hobi, seorang anak muda, Amir Burhanudin Rashid, 32, tekad menjadikan minatnya terhadap barangan kulit sebagai perniagaan.

Menurutnya, minatnya terhadap barangan kulit bermula sejak dua tahun lalu.

"Saya memang berusaha dapatkan barangan kulit untuk kepuasan diri sendiri... sampai satu tahap saya cuba jahit beg kulit sendiri.

"Masa tu, saya cari bahan sendiri dan belajar menjahit dengan kawan yang sama-sama minat dengan barangan kulit.

"Malah, kawan-kawan lain pun berminat nak dapatkan hasil kerja tangan saya dan dari situ, tercetus idea untuk terima tempahan," katanya.

Katanya, ilmu menghasilkan barangan daripada kulit dipelajari secara berperingkat, malah menjadikan penjual kulit, buku dan internet sebagai rujukan.

"Saya juga bertanya kepada orang lama dalam bidang ini.

“Mula-mula memanglah susah nak jahit barangan kulit ni... kena ada kemahiran baru boleh hasilkan barang yang kemas dan disukai pelanggan.

"Saya banyak belajar dari kesilapan dan pernah putus asa. Tapi bila saya fikir balik, jahitan produk kulit ni ilmu yang perlu dipelajari, jangan pernah berhenti," katanya.

Amir yang juga kakitangan swasta sebuah syarikat berkata, dia perlu bijak membahagikan masa antara kerjaya dan minatnya itu.

"Saya cuma buat secara sambilan di rumah dan kebanyakan pelanggan yang buat tempahan tak pernah hadkan masa... mereka pun faham saya ada kerjaya lain dan boleh tunggu untuk dapatkan hasil diinginkan.

"Malah, saya juga akan maklumkan jangka masa yang diperlukan untuk siapkan tempahan mereka berserta harganya," katanya.

Difahamkan, Amir telah menghasilkan pelbagai produk barangan kulit seperti beg tangan wanita, beg silang dan dompet; satchel bag, arrow quiver, sarung pisau serta sarung vape mengikut cita rasa pelanggan atau inspirasinya sendiri.

Bagaimanapun, menurutnya, dia tidak boleh menerima terlalu banyak tempahan dalam satu masa dan akan memilih sendiri bahan kulit serta aksesori yang akan digunakan untuk menyiapkan barangan ditempah.

"Saya nak hasilkan sesuatu yang berkualiti untuk pelanggan. Pernah saya hasilkan satu barangan kulit serendah RM70 dan ia mengikut saiz diinginkan pelanggan

"Saya bukan pakar dalam pembuatan produk barangan kulit... tapi saya bersyukur daripada hobi kini menjadi perniagaan," katanya.


0 comments:

share2