Rantau Panjang - Tujuh beranak termasuk lima kanak-kanak terselamat dalam kejadian kebakaran yang berlaku di Kampung Atas Gual, berdekatan sekolah menengah, kelmarin.
Kejadian yang berlaku jam 3.30 pagi itu menyebabkan sebuah rumah, kereta dan motosikal hangus.
Mangsa, Zainun Harun, 43, berkata, bunyi letupan bersilih bau petrol dari arah bilik tidur, mengejutkan ahli keluarganya.
Menurutnya, panik dengan keadaan itu, dia dan suami, Zakaria Arwae, 48, berusaha menyelamatkan anak-anaknya dari bilik berkenaan.
“Saya tidak pasti sama ada kami dianiaya kerana kami tidak pernah bermusuhan dengan sesiapa sejak mendiami rumah ini, lima tahun lalu.
“Buat masa ini, saya cuma fikir soal anak-anak dan tidak mahu dibebani dengan peristiwa ini,” katanya.
Menurut suri rumah itu lagi, dia kerugian lebih RM50,000 dan berharap ada pihak sedia membantu bagi meringankan beban mereka sekeluarga.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Adni Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.34 pagi.
Menurutnya, seramai tujuh anggota bergegas ke tempat kejadian dengan menaiki satu jentera.
“Setibanya di tempat kejadian, kami dapati rumah dan kereta Toyota GL terbakar hampir 100 peratus.
“Operasi mengawal kebakaran dilakukan menggunakan dua aliran hos air dan dua nozel,” katanya.
0 comments:
Post a Comment