Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, February 14, 2016

TIDAK SEMPAT KAUT UNTUNG


 Tidak sempat kaut untung


Dungun - Seorang lelaki yang baru pulang daripada mengambil bekalan dadah dipercayai di Pasir Puteh, Kelantan, diberkas pihak polis dalam Operasi Selamat di Kampung Pinang, Padang Pulut, Rabu lalu.

Lelaki berusia 22 tahun berkenaan dipercayai baru berjinak dalam aktiviti tersebut, ditahan di tepi jalan dalam operasi diketuai Inspektor Mohd Ridhuan Ismail bersama lima anggota Bahagian Siasatan Jenayah dan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacob berkata, hasil pemeriksaan tubuh menemui 400 pil disyaki dadah jenis methamphetamine di dalam sebuah beg kecil yang diletakkan di dalam poket kanan seluar suspek.

“Difahamkan suspek baru sejam tiba di kampung itu selepas pulang dari mengambil bekalan dadah. Bagaimanapun, aktiviti suspek berjaya dihidu pihak berkuasa dan dadah yang diambil tidak sempat untuk dijual.

“Di dalam beg kecil milik suspek, terdapat empat peket plastik mengandungi 10 rangkai dan setiap daripadanya mempunyai 10 pil. Ia dibeli dengan harga RM2,600 dan dijual dengan harga RM16 sebiji dengan nilai keseluruhan RM6,400,” katanya.

Beliau berkata, suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan saringan air kencing mendapati remaja itu positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek dipercayai masih baru dalam aktiviti mengedar dadah iaitu kurang sebulan. Suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, menerusi operasi sama di sekitar kawasan itu, lima lagi suspek berusia 19 hingga 28 tahun ditahan dan disahkan positif dadah.


0 comments:

share2