Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, February 14, 2016

USTAZ AKUI DIGANGGU MAKHLUK HALUS DUA KALI


Ustaz akui diganggu makhluk halus dua kali


Kisah misteri atau pun diganggu makhluk sering menjadi bualan penduduk terutama bagi mereka yang pernah melalui kisah berkenaan.

Untuk berkongsi kisah berkenaan, Sinar Harian menemubual beberapa individu yang pernah mengalami situasi berkenaan.

Hantu tumpang kereta

Laluan alternatif menghubungkan pekan Kuala Ketil dengan Sik membawa rahmat kepada penduduk sekitar sejak ia dibina dua tahun lalu kerana jarak perjalanan yang lebih dekat selain menjimatkan masa.

Jalan raya yang dibina melalui kawasan perkampungan berhampiran Felda Teloi Timur itu bagaimanapun menyingkap beberapa kisah misteri yang pernah menimpa pengguna jalan raya di sana.

Dengan keadaannya jalan yang lengang dari sebarang kenderaan pada waktu malam, laluan yang dibina berhampiran kawasan bukit dan ladang getah itu juga mulai sunyi selepas senja melabuhkan tirainya.

Seorang ustaz, Shahrun Nizan Othman berkata, dia pernah diganggu dua kali dan pada kejadian pertama, gangguan itu dirasainya ketika melalui jalan itu selepas tamat latihan marhaban di sebuah masjid di Sik.

Menurutnya, ketika itu dia pulang bersendirian dengan kereta selepas jam 12 tengah malam dan diganggu semasa melalui di satu selekoh berhampiran kawasan yang berbukit.

“Waktu itu jalan berkenaan masih baru dibuka, sedang dalam perjalanan, saya terasa seperti ada yang menumpang di tempat duduk belakang, dari pandangan cermin hadapan kereta saya ternampak kelibat sedia olah-olah berbentuk manusia, namun samar-samar.

“Untuk pastikan apa yang saya nampak ketika itu, saya cuba menoleh ke belakang ,namun baru hendak toleh tiba-tiba leher saya keras,”katanya.

Lebih menyeramkan, kelibat yang dirasainya menumpang itu kemudiannya bertindak menghulurkan tangan di sebelah pipi kirinya sambil membuka dan menggenggam tangan beberapa kali.

“Saiz tangan itu seperti orang dewasa dan warnanya hitam, saya yang berada dalam situasi itu segera membacakan ayat al-Quran dari surah Al-Baqarah.

“Dengan bacaan secara taranum dan suara yang kuat, gangguan itu kemudiannya tidak lagi dirasainya sepanjang perjalanan ke rumah,”katanya.

Shahrun Nizan berkata, selang sebulan selepas kejadian itu, dia sekali lagi diganggu ketika hendak pulang ke rumah ibu mertuanya di Sik.

Menurutnya, kejadian itu berlaku sekitar jam 10.30 malam ketika pulang menaiki motosikal selepas mengajar anak-anak jemaah membaca al- Quran di masjid.

“Tiba di satu lokasi berlainan dari kawasan pertama saya diganggu, motosikal saya menjadi berat dan semakin sukar ditunggang.

“Lebih menghairankan saya waktu itu, terdapat cebisan kain berwarna putih pudar berkibar-kibar di bahagian motosikal saya seolah-olah saya memakai pakaian labuh yang terkena tiupan angin,”katanya.

Shahrun Nizan berkata, dia kemudiannya terasa pelukan seseorang dari arah belakang sehingga dia sukar untuk bernafas.

“Saya cuba sekuat hati membaca ayat-ayat suci al-Quran dan kemudiannya menjerkah makhluk itu.

“Selepas membaca, saya jerit dengan sekuat hati “ Jangan kacau aku!” dan secara pantas gangguan itu hilang dan tidak lagi dirasai,”katanya.

Shahrun Nizan berkata, sehingga kini dia masih ingat di mana dua lokasi sedia pernah diganggu makhluk halus itu.

Beliau berkata, sebagai seorang ustaz, apa yang berlaku adalah dugaan yang tidak akan menjejaskan rutin hariannya kerana kuasa ALLAH adalah lebih besar daripada segala-galanya.

Sementara itu, pengalaman diganggu makhluk halus turut dikongsi oleh seorang penduduk dari kawasan Felda Teloi Timur.

Azzhari Zakaria berkata, pengalamannya diganggu di masjid merupakan memori yang akan sentiasa segar dalam ingatannya.

Menurutnya, kejadian itu turut berlaku dalam tempoh dua tahun lalu ketika dia mengambil keputusan untuk bermalam di masjid.

“Sudah sebati masjid kampung ini dengan saya, selalunya saya akan tidur dan bermalam di masjid, namun pengalaman dua tahun lepas amat memeranjatkan,”katanya.

Katanya, kira-kira jam 3 pagi dia yang terasa mahu membuang air kecil keluar dari masjid secara tergesagesa terpandang kelibat seseorang di kawasan parkir motosikal dalam perkarangan masjid.

Menurutnya, tidak terlintas dalam fikirannya kelibat itu adalah makhluk halus kerana beranggapan ia adalah mana-mana penduduk kampung yang sengaja menghabiskan masa di situ.

“Mulanya saya ingat ada orang lepak hisap rokok di kawasan tu,saya pun tidak endahkan dan masuk ke dalam tandas seperti biasa.

“Namun selepas keluar dari tandas, kelibat itu masih lagi berada di tempat parkir dan saya mengambil keputusan untuk pergi ke arahnya bagi mengetahui siapa yang ada di kawasan berkenaan,”katanya.

Katanya, lampu suluh dinyalakan dan perlahan-lahan dia mendekati kelibat yang disangkakan manusia itu.

“Bila hampir dan lampu terus dihalakan ke arah bawah kawasan parkir tu, saya terperanjat kerana rupanya adalah makhluk lain yang sedang bertenggek.

“Makhluk tersebut kemudiannya berdiri, wajahnya tidak kelihatan kerana ditutupi dengan rambut panjang sebelum terbang ke arah bumbung masjid dan hilang dari pandangan mata,”katanya pengalaman itu benar-benar dihadapi dan bukannya mainan tidur atau cerita yang direka-reka.

Pengalaman kedua di lokasi sama, dia pernah ditegur dengan ucapan salam ketika hendak masuk ke dalam kawasan dewan masjid.

“Waktu itu saya berseorangan hendak menyelesaikan beberapa urusan yang melibatkan kenduri.

“Bila selangkah hendak masuk ke dalam dewan itu, tiba-tiba ada seseorang memberi ucapan salam dengan bahasanya yang cukup fasih, seperti orang Arab yang bagi salam,"katanya.

Terkejut dengan sapaan itu, dia segera membuka lampu dewan bagi melihat siapa yang memberi salam tersebut, namun didapatinya tiada seorang pun di kawasan tersebut.

“Saya mencari orang yang memberi salam itu kerana mungkin ada orang lain sama, tetapi ternyata tidak ada siapa-siapa pun kawasan itu,”katanya.


0 comments:

share2