Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, February 14, 2016

[KUANTAN] JAIP LARANG GUNA TANDA 'NO PORK', 'PORK FREE'


Jaip


Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) tidak membenarkan premis di Pahang meletakkan tanda ‘no pork’ atau ‘pork free’ bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengguna Islam.

Unit Pengurusan Halal Bahagian Penyelidikan, Jaip sebelum ini pernah mengarahkan sebuah premis makanan menutup serta-merta pernyataan ‘tiada babi’ atau ‘no pork’ dan ‘no lard’ yang tertera di depan premis mereka.

Ketua Unit Pengurusan Halal Jaip, Noridzuan Abdul Manan berkata, larangan itu bertujuan yang mengelakkan kekeliruan dan menarik perhatian pengguna Islam untuk masuk ke premis berkenaan.

Menurutnya, pernyataan seolah-olah membawa maksud bahawa makanan yang disediakan berstatus halal dan boleh dinikmati pelanggan Islam.

“Pengguna beragama Islam dinasihatkan tidak terpedaya dengan tanda serta perakuan ‘tiada babi’ yang digunakan di premis tertentu di negeri ini.

“Walaupun pernyataan itu membawa maksud tiada hidangan berasaskan khinzir tetapi masih tiada jaminan bahawa makanan yang disediakan halal untuk pengguna Islam,” katanya ketika mengulas mengenai berita di sebuah akhbar tempatan mengenai premis makanan yang mempamerkan tanda ‘no pork’ dan ‘no lard’ yang mencetuskan persoalan serta kekeliruan pengguna.

Beliau berkata, ada kemungkinan bahan ramuan lain yang digunakan adalah hasil dari sumber tidak halal.

Sehubungan itu, Jaip berharap pemantauan boleh dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu melarang mana-mana premis untuk membuat pengiklanan seumpama itu yang boleh mengelirukan pengguna Islam.


0 comments:

share2