Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, February 7, 2016

TERPAKSA BUKA PELAMIN TENGAH MALAM


Terpaksa buka pelamin tengah malam


Tampin – “Nak menangis makcik bila air mula melimpah masuk rumah. Esok (hari ni) nak rewang, pelamin dah pasang tapi banjir pula," demikian luah Bimah Muit, 65, ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di Taman Semarak Air Kuning Selatan, di sini, semalam.

Bimah berkata, pelamin berkenaan baru sahaja dipasang oleh mak andam dari Seremban dan mereka anak-beranak nekad untuk membuka kembali pelamin kerana bimbang pelamin terendam air banjir sehingga terpaksa bayar ganti rugi.

Menurutnya, bagi hantaran kahwin anak bongsunya, Nur Halilah Hadzir, 27, pula, salah seorang anaknya telah meletakkannya di atas meja yang diletakkan bertindih, sementara baju pengantin pula diletakkan di dalam kereta yang diparkir di tempat tinggi.

“Mujur air mulai surut jam 4 pagi, dan anak-anak makcik serta saudara-mara dan jiran di sini bergotong-royong memasang kembali pelamin. 

"Nasib baik juga ada jiran-jiran yang membantu selamatkan sebahagian daripada 500 biji kelapa yang hanyut.

“Hari ni nak rewang tapi kayu api habis terendam. Apa jua berlaku, majlis kenduri tetap diteruskan memandangkan kad jemputan telah diedarkan,” katanya.


0 comments:

share2