Kota Kinabalu - Orang ramai perlu berhati-hati apabila menerima berita yang mengandungi maklumat tidak sahih kerana ia boleh menimbulkan pelbagai masalah, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Wilfred Madius Tangau.
Tangau berkata beliau kecewa kerana kebanyakan orang masih mempercayai berita yang disebarkan melalui media sosial, walaupun ia kerap terbukti tidak benar.
Katanya, kewujudan media sosial bukan sahaja memudahkan manusia untuk berkomunikasi, tetapi juga mewujudkan medan jerangkap samar apabila begitu banyak maklumat yang tidak sahih dikongsi sebagai mesej melalui pelbagai aplikasi, termasuk WhatsApp.
"Melalui kaedah salin dan tampal, hari ini setiap orang (percaya) mereka boleh menjadi wartawan.
"Sebaliknya, mereka perlu faham bahawa menghantar maklumat atau apa yang dianggap sebagai berita yang tidak sahih kepada orang lain, boleh mengundang bahaya, bukan sahaja kepada diri sendiri, tetapi juga kepada keselamatan negara," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tangau juga meminta orang ramai berwaspada terhadap cubaan menggugat keamanan dan keharmonian dalam kalangan rakyat melalui penyebaran berita palsu dan negatif bagi tujuan menimbulkan kebencian terhadap kerajaan.
"Mereka yang menerima mesej seperti itu, berhentilah sejenak dan fikirkanlah tentang kesahihannya. Kita sepatutnya padamkan sahaja mesej seperti itu. Jangan menghantarnya kepada orang lain pula untuk mengelaknya daripada diviralkan," kata beliau.
Di pihak kerajaan pula, kata beliau, perkara itu dipantau melalui pelbagai badan, termasuk CyberSecurity Malaysia, sebuah agensi di bawah kementerian yang beliau terajui.
0 comments:
Post a Comment