Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, February 21, 2016

[PEKAN] PM TINJAU MASJID PERTAMA TEKNOLOGI HIJAU DI PAHANG


PM tinjau masjid pertama teknologi hijau di Pahang


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meninjau Masjid Kampung Kuala Pahang di sini yang merupakan satu-satunya masjid bercirikan Teknologi Hijau di Pahang.

Dalam lawatan kira-kira 30 minit itu, Najib diiringi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Adun Peramu Jaya, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali.

Masjid yang dibina dengan kos RM2.5 juta itu dilengkapi panel solar dan kincir angin selain sistem kitaran semula air hujan bagi menjimatkan penggunaan air sedia ada.

Ia dibina di atas tanah berkeluasan 0.4 hektar bagi menggantikan masjid lama untuk keselesaan penduduk setempat menjalankan ibadah.

Ketua Pegawai Eksekutif Landasan Kapital (M) Sdn Bhd, Datuk Mohd Nadzlim Mohd Noor berkata syarikat itu menanggung sepenuhnya kos pembinaan masjid berkenaan sebagai satu daripada tanggungjawab sosial korporatnya.

"Masjid ini dibina dengan kaedah 'pasang siap' bermula pada April tahun lepas dan siap sepenuhnya empat bulan kemudian, manakala kerja merobohkan masjid lama pula dilakukan sejak Ogos 2014," katanya kepada pemberita selepas tinjauan Najib itu.

Mohd Nadzlim berkata masjid baharu itu, yang boleh memuatkan kira-kira 1,500 jemaah, dijangka dirasmikan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.


0 comments:

share2