Kota Bharu - Seorang warga emas trauma selepas rumahnya diserang empat lelaki bersenjatakan parang yang melakukan serangan ala mafia di Kampung Mentuan Sering, Binjai di sini pagi kelmarin.
Habsah Seman, 70, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, kesemua lelaki terbabit dikatakan datang mencari cucunya berusia 20-an yang tinggal bersamanya, namun ia berakhir dengan amukan dan tembakan yang dilepaskan seorang lelaki, yang terkena bahagian tingkap rumah didiami anaknya.
“Saya tidak berani keluar rumah memandangkan kumpulan lelaki itu bertindak ganas dan memecahkan empat cermin kereta yang diletak di kawasan luar rumah, dipercayai menggunakan senjata tajam.
“Mereka kemudian mengetuk pintu rumah saya. Saya mengintai dari pintu, sambil menjerit tidak diapa-apakan kerana saya hanya seorang diri di rumah. Cucu yang dicari tiada di rumah ketika itu,” katanya.
Habsah berkata, dia kini bimbang tinggal seorang diri dan meminta polis melakukan siasatan segera, memandangkan cucunya kini tidak pulang selepas insiden terbabit.
“Saya masih teringat-ingat kejadian itu. Tidur juga tidak lena bila teringatkan empat lelaki bertindak ganas datang mengamuk di hadapan rumah.
“Lagipun anak saya, yang juga bapa kepada cucu saya yang dicari itu, nyaris terkena tembakan selepas menegur tindakan empat lelaki terbabit yang datang berkumpulan, namun mujurlah terkena tingkap rumah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Baharom Abu berkata, pihaknya berjaya menahan seorang daripada suspek pagi semalam.
“Kita berusaha mengesan saki baki kumpulan itu yang masih bebas dan kejadian itu dipercayai bermotifkan dendam selepas kumpulan itu menyerang dan melepaskan tembakan di kediaman terbabit.
“Mereka (suspek) yang menaiki kereta jenis Perodua Kenari, berhenti di hadapan rumah mangsa dan bertindak memecahkan cermin empat buah kereta milik keluarga mangsa yang diparkir di kediaman itu dan kemudian melarikan diri," katanya.
Baharom berkata, sejurus selepas kejadian itu, adik mangsa bersama empat rakannya, mengekori kereta suspek sehingga sampai di kawasan tali air yang menyebabkan kereta suspek terbabas.
“Berdasarkan maklumat awal yang diberitahu mangsa, berlaku perselisihan faham antara suspek dan dan pihaknya awal bulan lalu.
“Jadi kita masih jalankan siasatan berhubung kes terbabit di bawah seksyen 148 Kanun Keseksaaan (KK) memiliki senjata, 427 KK melalukan khianat dan Akta Senjata Api,” katanya.
0 comments:
Post a Comment