Ipoh – Limpahan air dari longkang berhampiran menyebabkan rumah penduduk di Taman Kledang Permai, di sini, digenangi air bermula tahun lalu.
Keadaan itu berpunca daripada longkang yang dikatakan tidak diselenggarakan menyebabkan ia sering tersumbat.
Penduduk, Chew Boon Hock, 47, berkata, mereka sudah tidak tahan berdepan masalah berkenaan yang mengakibatkan banyak peralatan dalam rumah rosak.
“Bila hujan, air akan masuk ke dalam rumah. Habis lantai, karpet dan perabot lain. Enjin kereta pun selalu dimasuki air.
“Kalau air longkang yang masuk ke rumah, banyak sampah yang dibawa sekali.
“Bila air surut, teruklah saya dan keluarga membersihkan semula kawasan rumah ini,” katanya ketika ditemui sempena lawatan turun padang Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar dan Adun Mengelembu, Lim Pek Har, semalam.
Dia berkata, limpahan air itu ada kalanya turut membawa sama haiwan berbisa seperti ular.
"Mujurlah tidak ada apa-apa yang serius berlaku setakat ini.
"Diharap masalah ini akan dapat diselesaikan segera,” katanya.
Ganggu persiapan raya
M Sivagami, 47, pula berkata, masalah itu turut memberi kesan terhadap sambutan perayaan Deepavali tahun lalu.
Paling menyedihkan katanya, kolam (hiasan di lantai) yang sering kali dijadikan hiasan sempena Deepavali turut rosak akibat limpahan air berkenaan.
“Masalah ini dah lama. Tapi paling teruk adalah pada sambutan Deepavali yang lalu.
"Banyak hiasan seperti kolam yang kami buat rosak sebab air masuk ke dalam rumah. Langsir, karpet pun kena air,” katanya.
Majlis kahwin terjejas
Seorang lagi penduduk, Satwant Kaur, 60, berkata, limpahan air itu mengakibatkan persiapan bagi majlis perkahwinan anak lelakinya November tahun lalu terjejas kerana banyak peralatan serta perhiasan yang rosak.
Katanya, biarpun majlis perkahwinan itu dapat dijalankan namun dia tetap berharap masalah berkenaan dapat diatasi segera.
“Sekarang ni setiap kali hujan, kami memang risau.
"Risau sebab takut air naik dan masuk ke dalam rumah,” katanya.
Dalam perhatian PBT
Dalam pada itu, Sivakumar berkata, masalah berkenaan sebenarnya berlaku sejak wujudnya projek pembinaan kawasan perumahan dan sebuah kolej di kawasan itu.
Bagaimanapun katanya, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sudah mengambil tindakan awal dengan mengadakan mesyuarat bersama bagi mencari alternatif terbaik mengelakkan banjir berulang.
“Oleh itu, kita juga nak penduduk di sini tahu bahawa perkara ini sudah pun diambil perhatian dan tindakan-tindakan untuk mengatasinya akan dilakukan tidak lama lagi,” katanya.
Sementara itu, MBI memaklumkan beberapa langkah akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi menangani banjir yang berlaku di kawasan berkenaan.
0 comments:
Post a Comment