Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, September 26, 2013

RAYU JHEV PERCEPAT PERMOHONAN


TEMERLOH – Seorang isteri bekas anggota tentera merayu Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempercepatkan permohonan bantuan bulanan suaminya yang terlantar sakit akibat kemalangan, Januari lalu.

Azlina Mohd Baki, 45, merayu jabatan terbabit meluluskan segera bantuan terbabit memandangkan wang simpanan keluarga semakin menyusut apabila perbelanjaan bulanan untuk rawatan suaminya, Ishak Said 53, mengatasi pendapatan keluarga.

Bekas pembantu Kebajikan Masyarakat itu berkata, dia terpaksa berhenti kerja untuk menjaga suaminya yang terlantar akibat kemalangan pada 3 Januari lalu.

Sejak itu katanya, dia hanya bergantung kepada bantuan bulanan pesakit kronik yang diberikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bermula Mac lalu.

“Nasib baik kerajaan negeri bagi sumbangan pesakit kronik RM3,000 pada saya masa itu, dapat juga tampung sedikit sebanyak belanja rawatan.

“Dengan wang itulah saya gunakan untuk beli lampin, susu dan keperluan harian saya selain belanja sekolah anak,” kata ibu kepada tiga anak ini ketika ditemui di rumahnya di Rumah Murah Lanchang di sini, semalam.

Azlina berkata, suaminya terlibat kemalangan dengan sebuah motosikal lain semasa menunggang motosikal untuk menghantar anak bongsunya ke sekolah.

Menurutnya, akibat kejadian itu, suaminya mengalami pendarahan dalam otak dan koma beberapa bulan serta terpaksa menjalani rawatan beberapa kali di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS).

“Dua kali dia jalani pembedahan dan kini terpaksa bergantung pada mesin bantuan pernafasan selain ditebuk pada leher,” katanya.

Azlina berkata, dia menghubungi JHEV awal September lalu tetapi jawapan daripada petugas di situ sangat mengecewakan.

“Saya harap JHEV segerakan bantuan bulanan kerana keadaan sangat memaksa sekarang, saya terpaksa berhenti kerja untuk jaga suami.

“Dua anak masih belajar, belanja sekarang juga tinggi. Saya harap JHEV atau orang perseorangan dapat bantu kami dari segi kewangan dan kerusi roda,” katanya.

Sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Azlina di talian 014-7931822 atau nombor akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 06400-41-000105279.

0 comments:

share2