
Pasir Mas - “Arwah mak sebenarnya tak suka berjalan jauh, lebih-lebih lagi apabila perlu meninggalkan rumah lama-lama, kecuali pergi kenduri melibatkan sanak-saudara."
Demikian luahan Siti Rohayu Mohammad Nur, 28, anak ketujuh kepada pasangan warga emas, Mohammad Nur Said, 69 dan Siti Hawa Razak, 57, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 4 Jalan Bentong-Raub, Pahang, di sini, malam kelmarin.
Menurut Siti Rohayu, kebiasaan arwah ibunya cukup susah untuk meninggalkan rumah, namun kali ini berbeza apabila arwah bersungguh-sungguh mengajak ayahnya ke Kuala Lumpur.
“Pada mulanya ayah agak keberatan untuk ikut mak, namun selepas dipaksa, akhirnya ayah mengalah. Ayah dan mak ambil keputusan untuk ikut abang (Mohd Azuan) ke Kuala Lumpur dengan menaiki kereta,” katanya ketika ditemui di Kampung Baru Kolam, Tok Uban, di sini, semalam.
Siti Rohayu berkata, abangnya (Mohd Azuan) pulang ke kampung untuk melihat keadaan isterinya yang baru sahaja melahirkan anak kedua.
Menurutnya, dia mengetahui kejadian menimpa ibu bapanya itu kira-kira jam 11 malam kelmarin selepas dihubungi pihak polis.
"Saya sama sekali tidak menyangka perubahan sikap itu merupakan petanda mak akan pergi buat selama-lamanya. Selepas mendapat khabar tersebut, saya dan suami terus bergegas pulang dari Johor ke Tok Uban,” katanya.
Dalam kejadian jam 11 malam itu, pasangan warga emas terbabit meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah selepas kereta Perodua Alza yang mereka naiki terlibat kemalangan dengan sebuah bas.
Mohd Azuan yang memandu kereta berkenaan, mengalami cedera parah dan menerima rawatan lanjut di Hospital Bentong.
Sementara itu, anak kelima pasangan terbabit, Mohd Ramli berkata, sebelum berangkat ke Kuala Lumpur, ibu bapanya ada berpesan supaya menjaga rumah dengan baik.
"Mak, ayah dan adik bertolak ke Kuala Lumpur pada jam 5 petang," katanya.

0 comments:
Post a Comment