Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, February 19, 2016

[KUANTAN] KUTIP DERMA TANPA KEBENARAN


Kutip derma tanpa kebenaran


Kegiatan mengutip derma tanpa kebenaran di tempat-tempat awam bukan hanya dilakukan rakyat negara ini malah turut ‘dipelopori’ warga asing.

Menggunakan pelbagai alasan untuk menagih simpati orang ramai, golongan terbabit dilihat aktif mengaut keuntungan dengan cara mudah.

Terbaru, kelibat seorang wanita yang mengaku dirinya sebagai etnik Rohingya dikesan aktif mengutip derma di sekitar bandar ini termasuk di kawasan pelancongan Teluk Cempedak.

Wanita berjubah itu turut membawa seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun.

Ketika didekati, wanita terbabit memberitahu dia datang dari Kuala Lumpur dan kebiasaannya akan berada di Kuantan selama tiga hari serta tinggal sementara di Balok.

Katanya, dia mengutip derma bagi membina madrasah tahfiz al-Quran untuk masyarakat Rohingya.

Dia yang mempunyai kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) bagaimanapun gagal menunjukkan surat kebenaran daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) untuk mengutip derma di negeri ini.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Muip, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, untuk tahun ini, pihaknya masih belum mengeluarkan sebarang surat kebenaran mengutip derma kepada warga asing.

Beliau berkata, sebarang kutipan derma perlu memperoleh kebenaran daripada Muip bagi mengelak penipuan.

“Kebenaran bertulis penting untuk sebarang aktiviti kutip derma dan warga asing perlu menunjukkan dokumen pengenalan diri seperti pasport,”katanya.

Menurutnya, pemantauan daripada Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) sering dilakukan berdasarkan aduan orang awam dan operasi berkala.


0 comments:

share2