Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, February 11, 2016

[KUANTAN] KPDNKK LUPUS HASIL RAMPASAN


KPDNKK lupus hasil rampasan


Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pahang melupuskan barang rampasan dengan nilai sitaan berjumlah RM84, 756 dan nilai kompaun RM46,480 melibatkan 42 kes yang selesai.

Pengarahnya, Sharuddin Jali berkata, kesemua kes berkenaan membabitkan tahun 2008 hingga tahun lalu.

Menurutnya, kes itu melibatkan Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan 2011, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Bagi Akta Perihal Dagangan 2011 sebanyak 40 kes manakala satu kes bagi Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Antara barangan yang dilupuskan adalah pakaian, cakera optik, kasut, anti ganti kenderaan dan minuman,” katanya kepada media pada Pelupusan Ekshibit di Tanah Putih, semalam.

Sharuddin berkata, pelupusan barangan yang dirampas akan dilakukan selepas kes berkenaan selesai di mahkamah.

“Pelbagai barangan cetak rompak dan tiruan itu dilupuskan selepas ia dilucut hak melalui proses perundangan,” katanya.

Dalam pada itu, Sharuddin berkata, operasi berterusan dijalankan KPDNKK bagi membanteras aktiviti cetak rompak dan barang tiruan di pasaran.

Katanya, permintaan yang tinggi daripada pengguna menyebabkan peniaga mengambil kesempatan menjual produk berkenaan.

“Orang awam perlu memainkan peranan dengan tidak membeli barang cetak rompak dan tiruan kerana ia akan mungkin mendatangkan kesan tidak baik,” katanya.

Katanya, kebanyakan kes tersebut membabitkan kesalahan di bawah Perintah 4(4)(a) Label Cakera Optik 2010 selain Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barang berjadual dalam keadaan boleh menimbulkan syak dan peraturan 3(1) Peraturan Kawalan Harga (Penandaan harga oleh penjual runcit) 1993 iaitu kegagalan peniaga mempamerkan tanda harga.


0 comments:

share2