Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, February 11, 2016

[KUANTAN] KERUSI RODA UNTUK MEE HWA


Kerusi roda untuk Mee Hwa


Sejak disahkan menghidap ketumbuhan otak ketika berusia 13 tahun, kehidupan Su Mee Hwa, 41, terganggu dan memerlukan perhatian rapi ahli keluarga.

Lebih malang lagi apabila pergerakannya pula kini terbatas selepas diserang angin ahmar beberapa bulan lalu.

Kakaknya, Su Mooi Teng, 51 berkata, adik bongsu dari tiga beradik itu kini tidak mampu menggerakkan anggota badan sebelah kiri sehingga terpaksa menggunakan tongkat.

Sebelum ini adiknya itu tinggal dengan keluarga di Sungai Lembing.

“Bapa kami sudah tua...bila dia tak mampu lagi jaga adik, saya ambil alih tugas menjaga Mee Hwa.

"Walaupun kesihatan dan pergerakannya terbatas, Mee Hwa mempunyai semangat cukup kuat malah sentiasa berusaha untuk bergerak sendiri tanpa bantuan,” katanya.

Mooi Teng berkata, adiknya mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan dan wang itu digunakan untuk membeli lampin pakai buang, ubat dan lain-lain keperluan.

“Dia pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan 16 tahun lalu dan sehingga kini masih perlu berulang alik ke hospital dua kali sebulan untuk rawatan termasuk fisioterapi,” katanya.

Nasib Mee Hwa mendapat perhatian Kawasan Rukun tetangga (KRT) Indera Mahkota Jaya apabila dia menerima sumbangan kerusi roda yang diserahkan ahli jawatankuasa KRT, Datuk Dr Johan Mat Sah sempena Program Ziarah Kasih yang diadakan baru-baru ini.

“Saya berterima kasih kepada ahli jawatankuasa KRT kerana prihatin dengan nasib yang dialami adik saya. Kerusi roda ini akan memudahkan pergerakannya terutama ke hospital,” katanya.

Dia berkata, sumbangan kerusi roda itu hadiah istimewa diterima adiknya sempena Tahun Baharu Cina dan berharap kehidupan mereka lebih sempurna.


0 comments:

share2