Sebanyak 30 kes dibuka oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Pahang atas kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan Akta Timbang dan Sukat 1972 untuk tahun ini.
Pengarahnya, Sharuddin Jali berkata, sebanyak 15 kes disiasat di bawah Akta Kawalan Harga melibatkan kesalahan gagal meletakkan tanda harga dan enggan memberikan maklumat manakala 15 kes selebihnya disiasat di bawah Akta Timbang dan Sukat membabitkan kesalahan seperti menggunakan alat timbang tamat tempoh dan alat timbang yang tidak disahkan.
Menurutnya,KPDNKK sentiasa membuat pemantauan serta pemeriksaan menyeluruh atas semua aduan yang diterima daripada orang ramai.
“Malah hari ini empat pasukan telah membuat pemeriksaan di empat buah cawangan sebuah pasar raya terkemuka di sini selepas menerima aduan daripada pengguna membabitkan masalah penandaan harga yang mengelirukan mereka.
“Pemeriksaan mendapati pasar raya ini melakukan kesalahan dengan meletakkan dua harga pada satu barang dan tidak meletakkan tanda harga dan notis kepada pasar raya ini untuk memberi penjelasan dalam tempoh tujuh hari dan barangan terbabit telah disita,” katanya kepada pemberita selepas pemeriksaan berakhir di pasar raya itu di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Shahruddin turut memberitahu sebanyak 50 kes dilaporkan membabitkan tanda harga mengelirukan dan disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Perlindungan Pengguna serta Seksyen 14 Akta Perihal Dagangan sejak 2011.
Selain itu,beliau turut menegaskan pihaknya peka dengan masalah membabitkan kepentingan pengguna termasuk memantau dan mengambil tindakan terhadap kes yang menjadi viral di laman sosial meskipun tiada sebarang aduan rasmi terhadap kementerian tersebut.
Menurutnya, masyarakat diminta untuk membuat laporan di pejabat KPDNKK negeri dan cawangan terdekat supaya pihaknya dapat mengambil tindakan segera terhadap aduan yang dikemukakan.
“Ini kerana kita juga perlu berhati-hati kerana ada sesetengah kes tiada maklumat jelas dan ada yang sengaja diada-adakan .Namun pihak kita akan tetap melakukan siasatan dan kita juga bukan saja melindungi hak pengguna tetapi juga juga peniaga untuk tidak dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya lagi.
"Seperti kes yang diterima pada 13 Februari lalu, seorang pengadu tampil membuat laporan selepas bangkai cicak dijumpai dalam sos tomato yang dibelinya di sini (Kuantan) dan telah menjadi viral di laman sosial.
“Kita telah pergi ke lokasi yang dinyatakan dan mengambil contoh sos tomato dari batch sama dan dihantar ke makmal dan tengah menunggu keputusan ujian makmal untuk mengambil tindakan selanjutnya,” katanya lagi.
0 comments:
Post a Comment