Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, February 6, 2016

'KEGILAAN PERANG, GULA RM832 1KG, BERAS RM550 1KG'


'Kegilaan perang, gula RM832, 1kg; beras RM550, 1kg'


MADAYA - SYRIA. Peperangan yang berlaku di bumi Syria sejak lima tahun lalu, telah membawa satu bencana kemanusiaan kepada penduduknya, mana tidaknya nasib masyarakat Syria kini boleh diibaratkan sebagai sudah jatuh ditimpa tangga.

Selain kediaman mereka musnah, peperangan itu juga mengakibatkan bangunan perniagaan serta pelbagai infrastruktur musnah di samping 177 buah hospital yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat musnah sama sekali sepanjang peperangan di Syria meletus.

Namun, apa yang paling menakutkan di Syria ialah hampir majoriti rakyat Syria terutamanya yang menetap di Madaya bakal mengalami krisis kebuluran.

Menerusi laman web Global Voices melaporkan sekitar 40,000 orang penduduk di situ bukan sahaja terdesak sehingga terpaksa memakan daun, malah turut menjadikan serangga dan kucing sebagai makanan untuk meneruskan kehidupan.

Malah akibat daripada kegilaan perang ini telah menyebabkan harga makanan di bandar itu dilaporkan seperti tidak masuk akal apabila harga asas seperti tepung mencecah RM500 satu kilogram, gula RM832 satu kilogram, gandum RM1,095 sekilogram, dan susu bayi dijual pada RM1,315 bagi setiap 900 gram.

Menurut Pertubuhan Palang Merah di Syria, Pawel Krzysiek, dek kerana 'kegilaan' itu rakyat Syria bakal menerima nasib seperti rakyat di beberapa buah negara benua Afrika.

“Minggu lalu, seorang kanak-kanak 10 tahun meninggal dunia kerana kekurangan nutrisi. Sekurang-kurangnya 300 orang kanak-kanak terpaksa mengharungi situasi perit akibat perbuatan kejam ini,” katanya.

Kumpulan pembangkang, Parti Campuran Kebangsaan Syria memberi amaran situasi buruk itu mungkin menjadi tragedi malapetaka kemanusiaan terburuk di Madaya.

Apapun rakyat Syria kini hanya menanti cahaya agar muncul di hujung terowong setelah lima tahun perang meletus.

Isnin lalu, rakyat bumi Anbiya ini mungkin dapat menarik sedikit nafas lega apabila satu rundingan Syria telah diadakan di Geneva, Switzerland.

Mudah-mudahan rakyat Syria kembali hidup sepertimana pada zaman-zaman 'indah' mereka seperti sebelum peperangan meletus.


0 comments:

share2