Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, February 17, 2016

‘KEDUA-DUA TANGAN TERASA PANAS'


Kedua-dua tangan terasa panas


Pontian - Biarpun sudah empat hari berlalu, namun renjatan akibat terkena panahan petir masih lagi dirasai seorang tukang besi, Aljuwana Roslan Omar, 56, atau lebih dikenali sebagai Pak Wan.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang, (Ahad lalu), Pak Wan bersama dua lagi pekerja menaiki lori dalam perjalanan ke Kampung Gunung Pulai 2, untuk menyiapkan garaj kereta yang ditempah.

Bagaimanapun, selepas kira-kira dua kilometer bertolak dari bengkelnya di Kampung Melayu Raya, lori dinaiki tersangkut kerana tayar terbenam di dalam lubang jalan tanah merah.

Menurut Pak Wan, dia bersama dua pekerjanya dikenali sebagai Asri dan Iwan cuba menolak lori beberapa kali dalam hujan sebelum menghubungi rakan yang juga seorang mekanik untuk mendapatkan bantuan.

“Ketika sedang masuk dalam lori, kedengaran dentuman amat kuat sehingga menyebabkan Pak Wan terpelanting jatuh tersembam di atas tanah sebelum pengsan.

“Asri dan Iwan segera mengejutkan Pak Wan. Sebaik sedar, kedua-dua belah tangan terasa ‘panas’, tapak tangan pula tak terasa seakan-akan Pak Wan dah tiada tangan ketika itu.

“Dalam fikiran cuma terbayang anak-anak, Pak Wan kuatkan semangat untuk berdiri dan berteduh di bawah pokok di tepi jalan,” katanya.

Jelasnya, tidak lama kemudian rakannya tiba dan segera membantu dengan membawanya ke klinik berdekatan sebelum dihantar menaiki ambulans ke Hospital Pontian.

“Mujur segalanya selamat dan dibenarkan pulang kelmarin selepas ditahan di wad Hospital Pontian untuk menerima rawatan,” katanya.

Cerita Pak Wan, sepanjang lebih lima tahun mencari rezeki sebagai tukang besi, kejadian menimpanya itu adalah pengalaman terburuk pernah dilaluinya setakat ini.

“Sebelum ini pernah juga ada kejadian ribut dan petir yang kuat, namun apa yang berlaku empat hari lalu adalah paling dahsyat dengan bunyi dentuman amat kuat seperti bom.

“Sementara waktu ini Pak Wan akan berehat kerana badan dan tangan masih bisa-bisa seakan masih ada lagi renjatan,” katanya ketika dikunjungi Ketua Kampung Melayu Raya, Adam Yusof, di sini, semalam.

Pak Wan berkata, meskipun berdepan kejadian hampir meragut nyawanya itu, namun dia tetap mahu meneruskan pekerjaannya sebagai tukang besi demi menyara dua anaknya, Ayu Nurul Jana, 15 dan Siti Nurul Dayana, 13.

“Ketika sedar dari pengsan, Pak Wan hanya terbayang wajah kedua-dua puteri kesayangan yang kehilangan ibu mereka pada April tahun lalu akibat barah payu dara,” katanya.


0 comments:

share2