Lebih 80 penduduk Orang Asli di sini menikmati kemudahan elektrik selepas menerima bantuan penjana kuasa elektrik bernilai RM2,840 dari Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip).
Wakil penduduk, Alias Datang berkata, kampung itu tidak dibekalkan kemudahan elektrik kerana kapasiti penduduk tidak ramai dan kedudukan kampung yang jauh di kawasan pedalaman.
Justeru, katanya, ada penduduk yang membeli penjana kuasa di rumah mereka untuk mendapatkan bekalan elektrik.
Bagaimanapun, katanya, bilangan penduduk semakin bertambah berbanding hanya beberapa keluarga sahaja yang menetap di situ, sebelum ini.
“Kita jangka jumlah penduduk akan meningkat dari semasa ke semasa dan berharap kerajaan memberi kemudahan dan menjaga kebajikan masyarakat Orang Asli di sini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Program Ziarah Mahabbah Bersama Masyarakat Orang Asli Penchorong dan Lubuk Perah Daerah Bera, kelmarin.
Hadir sama, Adun Kemayan, Datuk Mohd Fadil Osman.
Menurutnya, sebelum ini, penduduk menerima bantuan bekalan air bersih yang diuruskan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dengan menyediakan pam air.
Sementara itu, Mohd Fadil berkata, kerajaan tidak pernah meminggirkan Orang Asli, malah sering mengutamakan keperluan mereka seiring dengan kemajuan dicapai bangsa lain.
Katanya, bagi menampung keperluan penduduk, pihaknya akan berbincang dengan PKD untuk menyediakan kemudahan pam air tambahan di kampung itu.
Sebelum itu, seramai tujuh keluarga mengucap dua kalimah syahadah di hadapan Timbalan Yang Dipertua Muip, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan.
Mohd Fadil berkata, individu yang memeluk Islam di kampung ini turut disaran mendalami ajaran Islam dan memenuhi amalan rukunnya melalui bimbangan pendakwah.
0 comments:
Post a Comment