Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, February 19, 2016

1.5 JUTA PEKERJA BANGLADESH BUKAN UNTUK MALAYSIA SAHAJA


1.5 juta pekerja Bangladesh bukan untuk Malaysia sahaja


Putrajaya - Kementerian Sumber Manusia hari ini menjelaskan bahawa Malaysia tidak akan membawa 1.5 juta pekerja Bangladesh masuk berdasarkan perjanjian persefahaman (MOU) yang telah ditandatangani antara kedua-dua negara.

Menterinya, Datuk Seri Richard Riot berkata, angka berkenaan (1.5 juta) sebenarnya merujuk kepada bilangan rakyat Bangladesh yang berdaftar dengan Kementerian Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara negara mereka bagi mendapatkan peluang pekerjaan di 139 buah negara serata dunia termasuk Malaysia.

“Tidak benar dakwaan berkenaan jumlah kemasukan pekerja asing Bangladesh sehingga 1.5 juta orang...ini kerana mengikut polisi Malaysia, sebarang kemasukan pekerja Bangladesh ke negara ini adalah berdasarkan kepada permintaan industri tempatan.

“Memorandum persefahaman (MOU) yang dimeterai oleh Malaysia dan Bangladesh kelmarin juga tidak menyatakan sebarang angka spesifik berhubung bilangan pekerja yang akan dibawa masuk negara ini kerana ia sememangnya bergantung kepada permintaan,” katanya ketika sidang media khas berkenaan isu berkenaan di sini.

Tegasnya lagi, MOU berkenaan tidak menyatakan tentang jumlah 1.5 juta pekerja Bangladesh tetapi bertujuan untuk mempraktikkan mekanisme pengawalan baharu dalam memastikan kemasukan pekerja asing tersebut adalah berdasarkan permintaan industri.

“Ia bertujuan mengawal had peruntukan 15 peratus bagi keseluruhan tenaga kerja pekerja di negara ini yang ditentukan kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 iaitu 2.3 juta pekerja asing daripada 15.3 juta tenaga keseluruhan negara.

“Pekerja Bangladesh yang akan dibawa masuk ke negara ini juga akan melalui tapisan ketat di mana mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti penyakit berjangkit serta ada rekod jenayah tidak sesekali akan diterima,” katanya.

Tambahnya, selain semua syarat penting yang perlu dipatuhi pekerja asing, penilaian turut dilakukan berdasarkan kelayakan mereka selain kemampuan majikan untuk mematuhi peratutan yang ditetapkan kerajaan.

Dalam pada itu juga, Richard berkata, jumlah keseluruhan pekerja asing berdaftar di negara ini sehingga Disember tahun lalu adalah sebanyak 2,135,035 dengan nisbah jumlah pendatang asing tanpa izin (Pati) adalah tujuh orang bagi setiap 10 pekerja asing berdaftar.

Menurutnya, jumlah pekerja Bangladesh di negara ini adalah sebanyak 282,287 termasuk 148 pekerja di Sarawak yang merangkumi 109,743 pekerja bagi sektor pembinaan, 104,311 (pengeluaran), 32,609 (perkhidmatan), 21,125 (perladangan) dan 14,371 (pertanian).

Sementara itu, ketika ditanya mengenai apakah keperluan sebenar negara bagi pekerja asing, beliau berkata kementeriannya sedang membuat kajian berhubung perkara berkenaan.

“Ia telah dilakukan selama beberapa bulan dan harap dapat diselesaikan dalam masa beberapa minggu..namun saya turut ingin menegaskan bahawa tenaga kerja tempatan masih diutamakan dan negara tidak boleh bergantung pada tenaga kerja asing selama-lamanya,” katanya.


0 comments:

share2