Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, January 1, 2016

TIGA ANGGOTA CEDERA DIREMPUH MAT REMPIT


PDRM


Georgetown - Tiga anggota Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) yang terlibat dalam operasi membanteras samseng jalanan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu berhampiran The Light di sini, cedera selepas dirempuh sebuah motosikal ditunggang mat rempit awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, tiga anggota SSPDRM termasuk seorang anggota wanita, dirempuh mat rempit terbabit yang enggan memberhentikan motosikalnya ketika sekatan jalan raya diadakan. 

"Kejadian berlaku semasa operasi membanteras samseng jalanan selepas sambutan ambang tahun baharu, dan semasa sekatan jalan raya dilakukan, sejumlah motosikal yang ditahan untuk diperiksa memberhentikan kenderaan mereka.

"Bagaimanapun, tiba-tiba seorang penunggang merempuh anggota polis yang sedang membuat kawalan di situ, dipercayai cuba meloloskan diri daripada sekatan
jalan raya," katanya selepas melawat anggota SSPRDM terbabit yang dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini hari ini.

Akibat rempuhan tersebut, beliau berkata tiga anggota berusia 23 hingga 43 tahun itu cedera, manakala penunggang dan pembonceng motosikal berkenaan ditahan selepas terjatuh.

Mior Faridalathrash berkata kesemua mereka dihantar ke HPP untuk rawatan lanjut.

"Seorang anggota SSPDRM, Oon Beow Chong, 43, masih dirawat di HPP kerana patah kaki kiri dan tangan kanan serta luka di bahagian badan. Dia kini dalam keadaan stabil setelah selesai menjalani pembedahan," katanya.

Sementara anggota wanita, Wan Norhushafarizan Md Husain, 30, luka di kaki kanan, lutut kiri dan tangan kanan, manakala seorang lagi anggota Muhammad
Rushdey Rosli, 23, hanya cedera ringan.

Mior Faridalathrash berkata dua lelaki yang merupakan penunggang dan pembonceng motosikal berusia 19 dan 21 tahun itu, turut mengalami kecederaan di muka dan kaki. 

Beliau berkata hasil siasatan mendapati penunggang motosikal itu hanya memiliki lesen L.

"Kedua-dua mereka yang berasal dari Bayan Lepas, ditahan bagi membantu siasatan," katanya.


0 comments:

share2