Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, January 2, 2016

MALAPETAKA MALAM 1 JANUARI


Adam A Kadir


Di sana sini kita menerima dan mengucapkan Selamat Tahun Baharu menjelang 1 Januari. Namun kadang-kadang kita juga menghadapi pengucapan yang bermaksud penjahanam. 

Tentunya amat ramai yang belum dilahirkan apabila Presiden Sukarno dalam ucapannya yang berkobar-kobar dan penuh dorongan melafazkan janjinya bahawa Malaysia akan dimusnahkan sebelum ayam berkokok pada 1 Januari 1964.

Beliau membuat ucapan itu kepada Angkatan Bersenjata Republik Indonesia atau ABRI sebaik-baik saja Malaysia ditubuhkan dalam tahun 1963 dan ucapan itu disiarkan secara langsung oleh Radio Republik Indonesia atau RRI. Terkenal dengan panggilan Bung Karno,

Presiden Indonesia itu mempunyai reputasi gemilang sebagai pemidato nombor satu dunia kerana retorik yang memukau selama lebih dua jam setiap kali beliau menyampaikannya. 

Orang asing yang kebetulan berada di sekitar tempat beliau berpidato amat kagum dengan apa yang mereka dengar dan apa yang mereka lihat pada audiens, meskipun mereka tidak faham.

Gambar-gambar besar beliau berpidato sentiasa menghiasi muka depan akhbar dan majalah dunia. Walaupun TV belum ada di sini dan di Indonesia, namun segala yang disebutkan di atas sudah lebih daripada cukup untuk meninggalkan kesan kepada rakyat di kedua-buah negara.

Kita menunggu dengan penuh rasa cemas dan ngeri kalau-kalau kapal-kapal terbang pengebom dan kapal-kapal perang Indonesia melancarkan serangan dari seberang Selat Melaka dan juga di Pantai Timur Tanah Melayu, tidak terkecuali Sabah dan Sarawak.

Syukur, segalanya tidak berlaku. Yang ada ialah laungan ‘konfrontasi’ terhadap Malaysia – satu istilah yang diulangi berleluasa dari kota hingga ke ceruk rantau Malaysia.

Menjelang 1 Januari 1966, dua tahun kemudian, dengan keberkatan ALLAH SWT, berakhirlah permusuhan Indonesia-Malaysia apabila gerakan Komunis Indonesia untuk meragut kuasa di sana tumpas dengan hancurnya Gestapu (Gerakan September Dua Puluh).

Sejak itu dua bangsa serumpun ini sentiasa aman. Kiranya Komunis menang dan Malaysia tergugat, nescaya dua kuasa besar kembar dunia, Amerika Syarikat dan Britain, akan terlibat sama.

Tentulah kesannya akan membawa perkembangan politik yang sukar diduga, mungkin Malaysia dan Indonesia bukan seperti yang ada sekarang ini. Itu adalah fenomena politik yang kebetulan berlaku di sebelah sini dunia.

Dari segi peribadi pula, apa yang berlaku pada malam 1 Januari adalah kejadian-kejadian yang parah dan luar dugaan. Pada awalnya ‘monsoon’ dalam bahasa Inggeris dipanggil musim angin timur laut; tetapi kemudiannya, sikit demi sedikit, ia bertukar menjadi musim tengkujuh.

Dalam bulan Disember 1960, musim angin timur laut adalah maha hebat. Angin kencang yang membawa hujan lebat dan mendesak ombak-ombak sebesar rumah menyerang pantai berkemuncakkan robohnya muka kuala; langsung merempuh masuk, merobohkan tebing sungai sehingga semua 10 buah kedai yang sederet runtuh bagaikan kotak-kotak kertas.

Nasib baik penghuni-penghuninya telah terlebih berpindah, maka tidak ada siapa yang mati.

Itulah yang dialami oleh kampung saya, Beserah, sebuah mukim di pesisiran pantai yang jaraknya lapan kilometer dari Kuantan.

Jika Rumah Rehat (Rest House) yang terkenal di situ, yang pernah diduduki Sir Hugh Clifford, Gabenor Tanah Melayu, pada tahun 1927, dan Prof Ungku Aziz pada tahun 1958-59 (mengawas penyelidikan ekonomi oleh siswa-siswanya dari Universiti Malaya, Singapura), hanyut sama, tentulah satu tinggalan sejarah hilang begitu saja.

Tiga tahun selepas itu, pada malam 1 Januari 1964, berlaku pula tragedi pembunuhan di jalan yang memisahkan dua deretan kedai Pasar Minggu lama di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Bagi anak-anak muda dan penggemar hiburan, BB Park (di tapak Sungai Wang, Low Yat dan Lot 10 kini) ialah tumpuan utama. Antaranya ia ada dua pentas ‘joget moden’. Tiap-tiap satu ada deretan 10 orang penari yang cantik-cantik.

Beli saja tiket yang berharga 30 sen dan sesiapa saja boleh menari dengan mana-mana penari pilihan.

Bukanlah luar biasa jika terdapat beberapa orang bersaing memenangi hati mana satu penari idaman.

Persaingan itu berkemuncakkan seorang pembonceng ditetak dengan parang panjang apabila skuter yang ditumpanginya melalui Jalan Perkins (kini Raja Alang) yang membelah pasar minggu itu.

Matilah dia, terkapar. Esoknya, saya lalu di situ. Terdapat bekas darah mengerikan. Akhbar-akhbar dalam semua bahasa memaparkan berita itu di muka depan.

Alangkah terkejutnya apabila diketahui bahawa pembunuhnya tinggal selang tiga rumah dari rumah sewa saya. Selainnya sudah menjadi sejarah. 

* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat


0 comments:

share2