Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, January 19, 2016

PAS PECAT AHLI SERTAI MILITAN

Satiful Bahri Mamat



KUALA TERENGGANU - Pas tidak teragak-agak untuk memecat mana-mana ahli yang didapati terlibat dalam kegiatan militan di luar negara.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat berkata, Pas masih kekal dengan prinsip menolak penggunaan kekerasan dalam perjuangan parti yang telah dipraktikkan sejak sekian lama.

“Pas tidak mengambil pendekatan kekerasan dalam penyampaian dakwah malah sebelum ini kita ada memecat ahli yang terlibat dalam mengangkat senjata di Afghanistan sebelum ini.

“Kita turut mengecam isu pengeboman di Turki dan Indonesia baru-baru ini malah kita juga telah maklum kepada semua ahli mengenai dasar dan prinsip kita dan sesiapa yang laksanakan selain dasar dan melanggar prinsip, dia bukan ahli Pas,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, setiap ahli diingatkan untuk tidak terlibat dalam keganasan dan kekerasan yang dijalankan militan itu serta memberi fokus terhadap perjuangan untuk menghadapi pilihan raya.

“Pas sejak 1959 ambil pendekatan pilihan raya dan Pas masuk sistem demokrasi berparlimen sejak itu. Tiada pendekatan melalui kekerasan diambil.

“Kita tidak mahu musuh Islam ambil kesempatan seperti IS untuk porak-peranda negara Islam. Sekiranya pengeboman di Turki dan Indonesia baru-baru ini berpunca daripada tindakan IS sendiri, itu adalah tindakan yang tidak wajar,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan IS menyasarkan negara-negara Islam tanpa alasan munasabah.

“Mengapa mereka tidak serang Israel, mengapa serang negara Islam? Ini adalah tindakan tidak wajar malah dalam Islam sendiri tidak mengajar kita untuk bertindak menggunakan cara kekerasan.

“Kalau betul IS, kita kecam kerana kita tahu IS adalah tajaan Amerika, Yahudi dan bukannya lahir daripada mujahidin Islam. Ini adalah perancangan dunia barat untuk porak-peranda kan negara Islam dan kita harap perkara ini tidak boleh berlanjutan,” katanya.

Satiful Bahri bagaimanapun berkata, pihaknya berharap agar isu yang timbul ini tidak menenggelamkan masalah yang dihadapi rakyat hari ini.

“Kita harap isu yang timbul ini tidak ‘kambus’ isu-isu sebenar yang dihadapi rakyat sekarang seperti kenaikan harga barang, cukai barangan dan perkhidmatan (GST), Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) dan sebagainya,” katanya.




0 comments:

share2