Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, January 29, 2016

HAJAT MAKAN TENGAH HARI TAK KESAMPAIAN


Hajat makan tengah hari tak kesampaian


Parit Buntar - Hajat seorang pekerja kilang untuk pulang makan tengah hari di rumah tidak kesampaian apabila maut diseret sebuah lori dalam satu kemalangan di Simpang Tiga, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, mangsa, Mohd Rozaidi Ahmad Nazri, 32, dari Kampung Kedah maut di lokasi kejadian setelah motosikal jenis Honda EX5 dinaiki diseret sebuah lori yang hendak memasuki kawasan premis peralatan pertukangan berhampiran persimpangan lampu isyarat di Simpang Tiga.

Abang mangsa, Mohd Razif, 33, berkata, berdasarkan maklumat saksi kejadian, mangsa difahamkan mahu pulang ke rumah dari tempat kerja di kawasan perindustrian Simpang Lima untuk makan tengah hari.

Bagaimanapun, tiba di lokasi kejadian, mangsa tidak menyedari kehadiran sebuah lori yang menyeberangi laluan bertentangan secara tiba-tiba memasuki sebuah premis peralatan pertukangan di situ.

"Arwah tak sempat nak elak hingga dirempuh. Arwah juga diseret lori sejauh lima meter yang tak perasan kelibatnya di depan.

"Saya reda adik meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Parit Buntar, semalam.

Mohd Razif berkata, sejak sebulan lalu, mangsa yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik dan masih bujang sering berdiam diri serta membuat hal sendiri.

"Dia tak pernah macam itu sebab selama ini arwah ceria dan sangat ambil berat masalah keluarga.

"Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Hijau, Kampung Kedah pada jam 6 petang selepas selesai proses bedah siasat," katanya.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan siasatan masih dijalankan.


0 comments:

share2