Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, January 11, 2016

[BENTONG] BAYI DERITA SAKIT KEPALA BESAR


Bayi derita sakit kepala besar


Senyuman sentiasa terukir dibibir, hinggakan tiada siapa menyedari kesakitan terpaksa ditanggungnya setiap hari.

Di usia baru mencecah setahun lapan bulan, Muhammad Aidil Asraf Mohd Amir terpaksa menanggung derita kerana menghidap penyakit lebihan cecair dalam kepala atau lebih sinonim dengan penyakit kepala besar.

Ibunya, Noor Zaharah Basran, 34, berkata, walaupun sakit, anaknya itu seorang bayi yang ceria, seolah-olah tidak berpenyakit.

Menurutnya, Muhammad Aidil Asraf dikesan menghidap penyakit berkenaan ketika dia berusia tiga bulan.

“Kira-kira umurnya tiga bulan, dia secara tiba-tiba diserang demam panas sehingga suhunya mencecah 41 darjah selsius.

“Saya yang ketika itu berada di Kelantan, membawanya ke klinik berhampiran namun keadaannya bertambah teruk,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Felda Mempaga 3, di sini.

Menurutnya, dia kemudiannya membawa anaknya ke Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) untuk rawatan lanjut.

Katanya, darah bayi lelakinya itu diambil dan Muhammad Aidil Asraf terpaksa dikomakan selama tiga minggu dan cecair dalam kepalanya dikeluarkan oleh doktor.

“Sekitar Februari dua tahun lalu, kepala anak saya ditebuk dua kali untuk mengeluarkan air di dalam kepalanya," katanya.

Noor Zaharah berkata, selepas koma selama tiga minggu, bayinya terpaksa ditahan di hospital selama tiga bulan bagi rawatan susulan sehingga kini di hospital sama.

“Selepas itu, kesihatan anak saya tidak menentu kerana kerap diserang sawan dan tidak boleh berjalan sehingga memerlukan pemerhatian sepenuhnya.

“Dia boleh makan seperti biasa, cuma saya perlu berhati-hati kerana dia kerap diserang sawan yang tidak menentu. Kadang-kadang pernah dalam sehari, dua kali dia kena serang sawan,” katanya.

Menurutnya, buat masa ini dia dan anaknya terpaksa tinggal di kampung untuk menjaga abangnya, Mohd Nizam Basran, 40, yang kehilangan beberapa jari kaki akibat kencing manis dan masalah penglihatan serta bapanya, Basran Kasmo, 64, yang cacat sebelah kaki akibat kemalangan beberapa tahun lalu.

“Saya terpaksa berpisah dengan suami sementara suami bekerja sendiri menjual sayur dan sebagainya di Kelantan demi untuk menyara kehidupan kami.

“Sesekali suami akan pulang atau saya akan ke Kelantan untuk merawat anak saya ini yang memerlukan rawatan susulan di sana,” katanya.

Wanita itu berkata, suaminya hanya berpendapatan sebanyak RM700 sebulan, namun tetap akan menghantar wang kepadanya untuk membeli keperluan bayinya.

Katanya, bagaimanapun pendapatan suaminya tidak cukup untuk menampung kosnya berulang alik dari Pahang ke Kelantan dan menyediakan keperluan harian anaknya yang masih tidak dapat berjalan seperti kanak-kanak seusianya.

Noor Zaharah berkata, dia berharap anaknya dapat dirawat di Hospital Bentong bagi memudahkan dan menjimatkan perbelanjaan mereka sekeluarga.

Katanya, demi melihat anaknya pulih, pelbagai kaedah rawatan dicuba termasuk perubatan kampung.

“Saya hanya mengharapkan pendapatan suami yang bekerja sendiri di Kelantan kerana abang dan ayah saya juga OKU yang perlu diberi perhatian dan memerlukan perbelanjaan.

“Selain memerlukan susu dan lampin, saya juga perlu modal untuk berulang-alik ke Kelantan bagi mendapatkan rawatan susulan anak,” katanya. 

Menurutnya, setakat ini dia hanya menerima bantuan bulanan sebanyak RM130 sebulan daripada Pusat Didikan Komuniti.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Noor Zaharah di talian 014-5020249 atau menyalurkannya terus ke akaun Maybank 156132677249.


0 comments:

share2