Tenang dan sunyi, itu dirasai penduduk dan pengguna jalan raya di sekitar kawasan yang sebelum ini sesak dengan kehadiran lori bauksit.
Tinjauan Sinar Harian di beberapa jalan utama di sini pada kira-kira jam 9 pagi semalam mendapati laluan sering dilalui lori bauksit lengang, malah kenderaan itu dilihat diletakkan di kawasan berhampiran.
Di Jalan Pelabuhan-Kemaman, tiada lori melalui kawasan itu dan hanya seorang pekerja didapati sedang membasuh jalan.
Bagaimanapun, lelaki terbabit bertindak melarikan diri apabila menyedari gambarnya cuba dirakamkan.
Ketika menyusuri Jalan Damansara pula, beberapa lori didapati diletakkan di kawasan perumahan, namun pemandunya dilihat berehat berhampiran.
Pekerja kilang, Zainuri Ibrahim, 28, berkata, dalam tempoh moratorium, dia dan rakan-rakan berasa lebih selamat dan tidak perlu berlumba dengan pemandu lori bauksit untuk ke tempat kerja.
Dia mengakui keadaan jalan raya juga lebih bersih dan tidak berdebu berbanding beberapa bulan lalu kerana pemandu bekerja setiap masa termasuk ketika hujung minggu dan cuti umum.
“Sebelum ini, kami terpaksa akur dengan pemandu lori yang bukan sahaja membawa debu malah keselamatan pemandu lain juga terancam terutama ketika pulang kerja pada awal pagi dan malam,” katanya.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 6 Januari lalu memutuskan untuk menghentikan aktiviti bauksit selama tiga bulan bermula 15 Januari ini.
Pemberhentian sementara iu bagi membolehkan pengusaha dan pengeksport menguruskan simpanan bauksit sedia ada bagi mengelakkan masalah pencemaran.
Sementara itu, Pengerusi Kwasan Rukun Tetangga (KRT) Pasdec Damansara, Mohd Azmi Othman berkata, beliau bersyukur kerana penguatkuasaan yang dilakukan mengubah keadaan persekitaran perumahan berkenaan.
Menurutnya, sebelum ini penduduk diganggu bunyi lori namun selepas arahan memberhentikan sementara pergerakan lori bauksit, kawasan itu kini kembali tenang.
“Walaupun masih ada lori yang bergerak di kawasan perumahan tetapi tiada muatan bauksit yang selama ini memberi impak kepada penduduk setempat.
Bagaimanapun, katanya, terdapat penduduk mendakwa, pemandu-pemandu lori bauksit kini melalui kawasan ladang di bahagian belakang perumahan itu.
“Kami juga bersyukur kerana anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut melakukan pemeriksaan pada waktu malam dan berharap pemantauan berkala dapat diteruskan untuk memberi peringatan kepada pengusaha dan pemandu,” katanya.
Azmi juga mendakwa, beberapa laluan di Taman Datuk Rashid, Taman Damansara dan Taman Kristal masih menjadi kawasan laluan lori bauksit tetapi tiada muatan.
Kakitangan hotel, Nooradzilah Abidin, 41, pula gembira dengan keputusan kerajaan menghentikan operasi bauksit selama tiga bulan sekali gus memberi peluang penduduk membersihkan kawasan mereka.
Katanya, penduduk Taman PSJ Sungai Karang Damai kini sudah boleh keluar rumah tanpa bimbang debu dan habuk menjejaskan kesihatan.
“Sejak Jumaat lalu, kami boleh menarik nafas lega kerana sudah tidak bergelumang dengan debu dan tidak perlu bimbang dengan kesihatan anak-anak ketika bermain di luar,” katanya.
0 comments:
Post a Comment