Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, January 11, 2016

[TEMERLOH] FELCRA BAYAR PAMPASAN RM1.4 JUTA


Felcra bayar pampasan RM1.4 juta


Felcra Berhad membayar pampasan berjumlah RM1.4 juta kepada seramai 172 mangsa banjir di kawasan Kerdau di sini yang terlibat dengan kemusnahan kediaman dan harta benda akibat banjir besar 2014.

Kesemua penerima adalah peserta Felcra Kerdau 1, Kerdau 2, Kerdau 3, Kampung Peragap dan Lipat Kajang yang menerima pampasan antara RM2,000 hingga RM24,000 bergantung pada taksiran dibuat syarikat insurans.

Majlis penyampaian replika cek pampasan syarikat insurans Etiqa Maybank itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas negeri, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad kepada wakil peserta Felcra kawasan Kerdau, Bakhtiar Hassan.

Syed Ibrahim yang juga Adun Kerdau berkata, pampasan berkenaan menzahirkan keprihatinan kerajaan negeri dan Felcra Berhad untuk memberi keselesaan kepada peserta, khususnya dalam membaik pulih kerosakan dan kebajikan lain walaupun kejadian sudah setahun berlalu.

“Ini merupakan amanah dan tanggungjawab sosial kerajaan negeri walapun kerap kali ada pihak tertentu memanipulasikan isu berhubung dengan bayaran pampasan, dividen dan projek pembangunan tetapi kita mengotakan segala dijanjikan untuk kesejahteraan rakyat kurang berkemampuan.

“Setiap mangsa banjir memperoleh antara RM2,000 hingga RM24,000 wang pampasan ini, berasaskan taksiran penilai syarikat insuran berkenaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyerahkan pampasan banjir di Dewan Sri Ketumbit, Kerdau, di sini kelmarin.

Sebelum itu, beliau turut menghadiri Majlis Sambutan Maulidur Rasul anjuran Wanita Dinamis Felcra (Wadira), kawasan Kerdau.

Syed Ibrahim berkata, penilaian kerosakan kediaman dan harta benda mangsa terlibat dibuat secara teliti dan profesional memandangkan terdapat pihak mengemukakan dokumen dan gambar palsu bagi membolehkan permohonan pampasan mereka diluluskan.

“Saya kesal kerana ada penduduk yang tinggal di tempat lain cuba menipu Felcra dan perbuatan ini tidak wajar, malah berdosa kerana mengambil hak orang lain khususnya golongan kurang berkemampuan seperti mangsa banjir,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Khidmat Sosial Sokongan Felcra Pahang Barat, Abdul Halim Abd Ghaffar berkata, Felcra Berhad Pahang memperuntukkan sebanyak RM1.3 juta tahun ini bagi persiapan sekiranya peserta dan kawasan projek berkenaan berdepan musibah banjir.

“Kita juga sudah menyediakan empat bot untuk kerja-kerja pemindahan peserta Felcra yang tinggal di kawasan pesisir sungai di negeri ini termasuklah persiapan bekalan makanan serta kemudahan lojistik tertentu,” katanya.

Menurutnya, Felcra turut memastikan kesemua pesertanya menyertai skim insurans sebanyak RM60 setahun bagi membolehkan pampasan dibayar sehingga RM25,000 sekiranya terdapat kemusnahan kediaman dan harta benda.


0 comments:

share2