Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, January 27, 2016

13 BARANGAN KEKAL SEBAGAI HARGA TERKAWAL


Hamzah Zainuddin


Kuala Lumpur - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hari ini mengekalkan 13 barangan harga terkawal sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang akan disambut 8 Februari.

Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainuddin, semasa mengumumkan senarai barangan terkawal di sini hari ini, berkata daripada 13 jenis barangan terkawal itu, telur kali ini berharga lebih murah berbanding tahun lalu.

"Harga runcit maksimum di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor bagi telur gred A menurun kepada RM0.37 sen sebiji berbanding RM0.40 sen tahun lepas, telur gred B menurun kepada RM0.36 sen berbanding RM0.39 sen dan gred C RM0.35 sen berbanding RM0.38 sen tahun lepas," katanya.

Beliau berkata harga runcit maksimum bagi ayam hidup naik kepada RM5.80 sekilogram (kg) berbanding RM5.70/kg tahun lalu; ayam standard, iaitu disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya) RM7.30/kg berbanding RM7.00/kg sebelumnya; ayam super yang disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal RM8.10/kg berbanding RM7.80/kg sebelumnya.

Sementara itu, harga bagi barangan lain tidak berubah berbanding tahun lepas iaitu kubis bulat import RM3.30/kg; bawang putih (China) RM8.00/kg; ikan bawal putih RM37.00/kg; udang putih besar RM38.00/kg; daging babi (perut) RM24.00/kg; daging babi (daging dan lemak) RM16.00/kg; selain harga ladang bagi babi hidup adalah RM8.40/kg, katanya.

Hamzah berkata penentuan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit dibuat mengikut kewajaran dan kesesuaian dalam memastikan harga adalah berpatutan dan ia merupakan antara langkah kerajaan bagi mengurangkan beban kos sara hidup.

"Skim ini dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. "Peniaga diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang telah ditentukan oleh kerajaan serta meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal bagi membezakannya dengan barangan lain," katanya. 

Beliau berkata individu yang melakukan kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000, manakala maksimum RM500,000 bagi syarikat atau dikompaun sehingga RM250,000.

Sementara denda maksimum RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 dikenakan kepada individu yang melakukan kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal yang dijual, manakala denda maksimum RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000 bagi syarikat.

Hamzah berkata sejumlah 2,000 orang pegawai penguatkuasa KPDNKK akan berada di lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah di seluruh negara seperti pasar awam, pasar pagi dan pasar tani untuk menjalankan pemeriksaan.


0 comments:

share2