Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, December 31, 2015

[TRIANG] PENDUDUK KESAL TAUKE TAK PEKA


Penduduk kesal tauke tak peka


Penduduk Taman Merbau Indah menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan segera mengenai bantahan penduduk berkenaan kewujudan premis salai khinzir yang masih beroperasi sehingga kini.

Pengerusi taman, Ismail Awang Ngah berkata, pihaknya telah memohon PBT membatalkan lesen perniagaan pihak terbabit atau menghalang mereka membuka premis di kawasan perumahan ini.

"Tapi pihak PBT memaklumkan mereka tiada kuasa untuk membatalkan atau menghalang perniagaan pihak terbabit.

“Premis itu tidak buka 24 jam tetapi di sinilah mereka memproses dan melakukan kerja-kerja salai daging khinzir.

“Ada masa-masa tertentu, bekalan mereka akan masuk pada waktu malam kerana mungkin tidak mahu dijejaki penduduk atau sukarelawan SRS (Skim Rondaan Sukarela),” katanya kepada Sinar Harian.

Ismail berkata, walaupun aktiviti di premis itu berkurangan berbanding dua tahun lalu, namun jika mereka memulakan operasi, ia akan mengeluarkan bau yang busuk, selain air basuhan khinzir dibiarkan mengalir keluar ke kaki lima premis itu.

Katanya, situasi ini bukan sahaja melibatkan sensitiviti orang Islam tetapi juga seluruh penduduk di kawasan perumahan ini yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.

“Penduduk terpaksa tahan dengan bau busuk, jadi kita mohon PBT lebih sensitif dengan perkara seperti ini,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha taman, Mohd Hafiz Mohd Nor berkata, sebelum ini pihak Pejabat Kesihatan Daerah juga pernah memeriksa premis itu dan dimaklumkan operasi salai daging khinzir itu tidak sesuai dijalankan di kawasan perumahan.

Menurutnya, pengusaha terbabit pernah beroperasi di premis perniagaan di beberapa kawasan perumahan berdekatan sebelum ini, tetapi mendapat tentangan penduduk menyebabkan mereka beralih ke taman perumahan ini.

“Majoriti di sini penduduknya adalah orang Melayu beragama Islam. Sewajarnya, pihak terbabit juga kena sensitif dengan situasi ini dan bukan hanya untuk mengaut keuntungan semata-mata,” katanya.


0 comments:

share2