Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, December 31, 2015

KEHILANGAN TUJUH MURID SK TOHOI TUTUP TIRAI 2015


orang asli


Kota Bharu - Tragedi kehilangan tujuh murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, Gua Musang menutup tirai 2015 di Kelantan apabila ia mengundang pelbagai reaksi berhubung tahap keselamatan sekolah di pedalaman.

Dalam kejadian 23 Ogos lepas, tujuh murid Orang Asli SK Tohoi bertindak melarikan diri bagi mengelak dikenakan hukuman setelah mandi di sungai berdekatan sekolah berkenaan tanpa kebenaran guru.

Selepas hampir 50 hari hilang di dalam hutan, empat daripada mereka iaitu Ika Ayel, 9, Haikal Yaacob, 8, Linda Rosli, 8, dan Juvina David, 7, ditemui mati, manakala dua rakan mereka iaitu Miksudiar Aluj, 11, dan Norieen Yaacob, 10, ditemui selamat dalam keadaan kelaparan serta mengalami dehidrasi.

Seorang lagi pelajar, Sasa Sobrie, 8, masih dicari pasukan mencari dan menyelamat.

Kementerian Pendidikan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Pertahanan bergabung tenaga dalam menjejaki pelajar yang hilang itu.

Berikutan kejadian itu, kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta bagi membaik pulih SK Tohoi termasuk pembinaan asrama serta pagar baharu yang dijangka siap tahun depan. 

Selain itu, program pemulihan pasca banjir selepas Kelantan dilanda bencana bah besar pada akhir tahun lepas kini bertambah baik walaupun agak perlahan apabila isu membabitkan pemilikan tanah untuk tapak rumah sedang diselesaikan dengan sebaik mungkin.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kerajaan Persekutuan memberi jaminan pembinaan kesemua 1,759 rumah kekal baharu (RKB) untuk mangsa banjir di Kelantan akan siap sepenuhnya antara Mac dan Jun tahun depan.

Beliau berkata setakat ini daripada 1,759 RKB itu, kerajaan Persekutuan sudah menyiapkan pembinaan 142 Rumah Kekal Baharu (RKB) manakala 301 RKB lagi dalam pembinaan dan 218 RKB di peringkat prapembinaan, melalui Jabatan Kerja Raya (JKR).

Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata tanah yang disediakan untuk pembinaan rumah tersebut terutama di kawasan Gua Musang dan Kuala Krai melibatkan tanah milik agensi kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan individu.

Mangsa banjir yang kehilangan rumah ditempatkan sementara di rumah transit, Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Gua Musang dan Kuala Krai serta Kem Rejimen 506 Askar Wataniah, Kuala Krai.

Dari segi politik pula, Umno dan Pas sepakat meluluskan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang hanya terpakai kepada orang Islam mukallaf sahaja apabila ia dilaksanakan kelak di negeri ini, pada persidangan Dun Kelantan pada 13 Mac lepas dengan kesemua 44 anggota dewan sebulat suara menyokong rang undang-undang itu.

Sejarah tercatat apabila kesemua 12 anggota dewan daripada Barisan Nasional menyokong rang undang-undang itu yang dibentangkan kerajaan negeri pimpinan Pas melalui Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Sementara itu, kematian bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang merupakan Adun Chempaka kerana kanser prostat pada 12 Februari lepas menyaksikan PRK diadakan.

PRK itu menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon Pas dan empat calon Bebas, manakala BN tidak meletakkan calon.

Pas berjaya mengekalkan kerusi Dun Chempaka apabila calonnya Ketua Urusan Ulama Pas Dun Chempaka Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad, 42, menang dengan majoriti 10,092 undi selepas memperoleh 10,899 undi, dalam pilihan raya kecil Dun pada 22 Mac lalu.


0 comments:

share2