Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, December 5, 2015

SEBAK TERIMA DIPLOMA ARWAH ABANG


Sebak terima diploma arwah abang


Kuala Terengganu - Seorang adik tidak dapat menahan sebak ketika menerima diploma abangnya, Muhammad Amirullah Ramlan, 21, yang maut pada Syawal (Ogos) lalu setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya yang turut meragut nyawa ibunya, Norsabiah Jusoh, 44.

Robiyatul Adawiyah, 20, berkata, dia amat sedih kerana bukan sahaja arwah abangnya yang tidak dapat naik pentas menerima diploma, tetapi arwah ibu juga tidak dapat menyaksikan abang sulungnya yang berjaya menamatkan pengajian dalam bidang kejururawatan di Kolej Universiti Bestari (UCB) pada majlis konvokesyen berkenaan.

“Saya juga terkilan kerana kami telah merancang untuk konvo (konvokesyen) bersama-sama pada tahun ini tetapi ALLAH lebih menyayanginya dan saya sendiri pun masih menangguh pengajian kerana menjaga empat orang adik.

“Saya masih trauma dengan kejadian yang menimpa kami pada hari raya ketiga itu kerana selepas ibu meninggal dunia, beberapa hari kemudian abang pula pergi, sekarang tanggungjawab menjaga adik-adik terletak kepada saya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen Ke-2 UCB di Taman Tamadun Islam, di sini.

Bagaimanapun, Robiyatul yang juga penuntut di UCB dalam bidang sama (kejururawatan) bercadang untuk menyambung semula pengajian yang tertangguh pada Januari depan kerana tidak mahu mengecewakan harapan arwah ibu yang mahu melihat dia berjaya dalam bidang berkenaan.

“Bulan Januari nanti, Insya-ALLAH saya akan sambung semula bagi semester lima yang tertangguh sejak Ogos lalu dan adik beradik lain akan dipantau oleh ibu saudara, Norhaini Jusoh, 48, yang sentiasa menjaga kami lima beradik di rumah sewa di Pangsapuri Ladang Gemilang Fasa II (Kos Rendah),” katanya.

Sementara itu, bercerita mengenai kemalangan yang menimpa mereka tujuh beranak, Robiyatul berkata, kereta Proton Saga yang dipandu arwah abangnya bertembung dengan sebuah kereta Proton Wira di Kilometer 41 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu (Sungai Tong), Setiu pada 3 Syawal lalu.

Ketika kejadian, mereka sekeluarga dalam perjalanan ke Kota Bharu, Kelantan untuk berhari raya bersama saudara di sana.

Kini Robiyatul tinggal bersama empat adiknya, Rabiatul Nur Shatirah, 17, Muhammad Idham Amin, 15, Rabiatul Nur Fatihah, 12 dan Rabiatul Nur Sakinah, 10.


0 comments:

share2