Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, December 19, 2015

[KUANTAN] 'DIA MENJERIT MINTA TOLONG'

‘Dia menjerit minta tolong’



Hasrat dua rakan mencari lokan berakhir tragedi apabila salah seorang daripadanya mati lemas di Sungai Nyior, Balok Pine di sini, semalam.

Mohd Rizal Isa, 34, berkata, dia terkilan tidak dapat menyelamatkan Amiruddin Yusof, 37, dan jeritan tolong daripada mangsa masih terngiang-ngiang di telinganya.

“Masa mangsa menjerit meminta tolong selepas tergelincir, saya dah hulur tangan untuk cuba bantunya.

“Bila saya nak tariknya ke atas, dia pula tarik saya ke dalam sungai dan saya pula tidak tahu sama ada dia tahu berenang atau tidak.

“Saya sedaya upaya cuba bantu tetapi malangnya saya pula yang dipijak hingga saya dah hampir ke dasar sungai. Jadi, saya terpaksa berenang ke tepi. Kalau tak, kami berdua memang lemas bersama-sama,” katanya kepada pemberita.

Menurutnya, mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori merupakan rakan yang baharu dikenali dan berkawan rapat.

“Sekiranya kami tak ke situ semalam (kelmarin), mungkin perkara ini tak berlaku.

“Lagipun lokan ni bukan untuk dijual pun...tapi buat makan sendiri sahaja,” katanya.

Sementara itu, Sinar Harian sempat menemui adik mangsa, Mohd Ghazali Yusuf, 33, yang turut terkejut mendapat perkhabaran menimpa abangnya yang merupakan anak kedua daripada lima adik-beradik.

“Pada mulanya saya kurang percaya sebab kami memang tahu abang gemar memancing tetapi disebabkan tidak diberitahu lebih lanjut semalam (kelmarin), saya dan orang tua saya bergegas ke rumah kakak ipar.

“Abang dikatakan ada beritahu isterinya untuk keluar pergi bekerja tetapi kami tak sangka dia keluar cari lokan pagi semalam (kelmarin) dan jatuh tergelincir.

“Sebelum kejadian, abang sempat telefon ibu beritahu ingin pulang ke kampung, tetapi tak sempat jumpa sebab abang ada kerja,” katanya.

Mohd Ghazali berkata, ketika sampai, operasi menyelamat sedang dijalankan namun disebabkan keadaan air pasang pada tengah malamnya, jadi operasi disambung pagi semalam.

“Syukur sebab dalam tempoh singkat mayat abang ditemui. Saya sendiri sahkan itu abang saya dan kami semua reda apa yang berlaku.

“Mengikut kehendak bapa kami, setelah selesai urusan bedah siasat, segala urusan pengebumian abang diadakan di Jengka,” katanya.

Amiruddin yang berasal dari Felda Jengka 18, meninggalkan seorang isteri dan seorang anak perempuan berusia lima tahun.

Dalam pada itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng, Abdul Manaf seman berkata, mayat ditemui jam 11.55 pagi semalam selepas dilaporkan tergelincir ketika mencari lokan kira-kira jam 10.30 pagi kelmarin.

“Mayat mangsa ditemui tertiarap di dasar sungai kira-kira tiga meter dari kawasan dia didakwa lemas oleh saksi yang melihatnya.

“Pihak bomba daripada Unit Penyelam Bomba Kuantan menyambung operasi menyelamat kira-kira jam 10.20 pagi namun setelah mengambil keputusan untuk memulakan operasi menyelam, mereka berjaya menemui mangsa dalam tempoh 20 minit sahaja.

“Ketika itu, mayat mangsa sudah berada sedikit terapung dari dasar sungai dan paras air dianggarkan kira-kira lima meter serta dalam keadaan tenang,” katanya kepada pemberita selepas menamatkan operasi menyelamat, di sini, semalam.

Ketika itu juga, katanya, selepas mendapat pengecaman oleh ahli keluarga yang turut sama menunggu sepanjang tempoh operasi dijalankan, mayat tersebut terus dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan (HTAA) untuk bedah siasat.




0 comments:

share2