Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, December 28, 2015

[KUANTAN] BOMBA PAHANG LAKUKAN RONDAAN BANJIR


Bomba


Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang melakukan rondaan sebanyak tiga kali sehari sebagai langkah berjaga-jaga sepanjang musim hujan ini.

Penguasa Kanan Bomba II Bomba Pahang, Ashrul Riezal Asbar berkata semua balai bomba di negeri ini telah diarahkan untuk melakukan pemantauan pada waktu pagi, petang dan malam dengan merujuk kepada laporan pejabat meteorologi.

"Pemantauan melibatkan kawasan berisiko banjir dan kawasan rendah. Jabatan bomba negeri juga telah membekukan cuti sejak November lalu," katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Ashrul Riezal berkata pemantauan hari ini juga mendapati air melimpah di beberapa jalan sekitar Kuantan seperti Kempadang, Sungai Soi dan Semambu, ekoran hujan lebat sejak pagi.

Sementara itu, Pejabat Meteorologi Pahang dalam kenyataannya berkata peningkatan hujan dijangka berlaku hari ini dan pada 31 Dis hingga 2 Jan ini.

Manakala amaran hujan lebat peringkat jingga di Kuantan dijangka berterusan sehingga esok.

"Pada masa ini, monsun Timur Laut mula aktif dengan angin Timur Laut dijangka bertiup dengan kelajuan antara 40 hingga 50 kilometer sejam (kmsj) di kawasan perairan Laut China Selatan dengan ombak boleh mencapai ketinggian 3.5 meter bermula hari ini sehingga 1 Januari," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi cuaca mendung dan hujan renyai dijangka berlaku di kebanyakan daerah di Pahang terutamanya di perairan dan pesisir pantai, khususnya pada waktu pagi.


0 comments:

share2