Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, December 14, 2015

[KUANTAN] BANTUAN BOT GETAH LEGAKKAN PENDUDUK

Bantuan bot getah legakan penduduk



Kelengkapan seperti bot getah antara barang keperluan yang akan diagihkan di dua kampung iaitu di Cenderawasih dan Sungai Isap sebagai persediaan sekiranya musibah banjir berlaku di negeri ini.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Fauzi Abdul Rahman berkata, sumbangan diberikan kepada wakil penduduk di dua kampung tersebut bagi memudahkan kerja pemindahan dilakukan.

“Kita akui apabila banjir tiba, semua jabatan akan sibuk melakukan kerja-kerja menyelamat penduduk setempat dan sekurang-kurangnya bot getah yang kita agihkan ini juga boleh diguna untuk tujuan menyelamat.

“Bot getah ini hanya boleh memuatkan empat hingga lima orang dan saya percaya apabila kecemasan ia boleh digunakan bagi memudahkan urusan menyelamat penduduk setempat,” katanya ketika menyerahkan bot getah tersebut kepada Bilal Masjid Cenderawasih, Md Yusof Ibrahim di hadapan perkarangan masjid itu di sini, baru-baru ini.

Katanya, sumbangan ini diberikan atas pengalaman lalu apabila ada sebahagian penduduk tidak dapat diselamatkan disebabkan bot utiliti milik Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan sebagainya tidak mencukupi.

“Kita amat memahami perasaan individu yang rumah mereka ditenggelami air menjerit meminta pertolongan, namun disebabkan kekurangan kelengkapan, mereka lambat diselamatkan,” katanya.

Fauzi memberitahu, sumbangan ini diberikan menerusi Badan Amal Ehsan Kuantan yang ditubuhkan bagi membantu masyarakat setempat menerusi sumbangan daripada penderma.

Jelasnya, badan tersebut akan menyalurkan sumbangan kepada penduduk setempat berdasarkan keperluan penerima dan kemampuan badan tersebut untuk menyalurkan bantuan.

“Kita akan melihat dua aspek ini bagi membolehkan bantuan itu disalurkan kepada penerima,” katanya.

Sementara itu, Md Yusof berkata, sumbangan bot getah ini melegakan kegusaran penduduk setempat terutamanya di kawasan yang terjejas teruk akibat musibah banjir.

“Bila adanya bot getah ini sekurang-kurangnya ia dapat membantu penduduk sekiranya menerima lambat bantuan daripada pihak sepatutnya.

“Namun begitu, apa yang saya harapkan agar tiada musibah banjir akan berlaku pada tahun ini,” katanya.




0 comments:

share2