KUALA LUMPUR - Satu pergaduhan kecil tercetus di Kompleks Kota Raya di sini apabila beberapa individu cuba menuntut bayaran dalam kes jual beli telefon bimbit kira-kira jam 4.55 petang tadi.
Kejadian turut menyebabkan beberapa peralatan kedai berkenaan rosak dan berjaya dileraikan orang ramai yang berada di lokasi kejadian. Insiden yang berlaku tidak sampai lima minit itu menyebabkan kompleks Kota Raya ditutup.
Menurut seorang aktivis, Roslan Ismail berkata, kekecohan tersebut berlaku berikutan tindakan peniaga tersebut yang enggan membayar duit yang diminta selain turut menghilangkan diri.
"Tindakan tersebut yang menyebabkan orang ramai marah dan situasi menjadi tidak terkawal," katanya.
Beliau yang juga mewakili beberapa orang mangsa yang dipercayai telah ditipu berkata, terdapat peniaga yang bertindak memaki dan menghalau orang ramai yang turut sama berada di tempat kejadian.
"Tindakan (peniaga) itu seperti kami pula yang salah. Kami tidak menggalakkan provokasi dan apa yang berlaku adalah kerana kemarahan orang ramai. Kami datang secara aman," katanya.
Kata Roslan, beliau menghormati pihak berkuasa dan tindakannya tidak melanggar undang-undang kerana kedatangannya mewakili mangsa yang telah ditipu.
0 comments:
Post a Comment