Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, December 12, 2015

KESETIAAN PADA PRESIDEN MAMPU KEKAL PERPADUAN DAN KEKUATAN UMNO




Kuala Lumpur - Perhimpunan Agung UMNO seharusnya menjadi medan anggota memperbaharui ikrar bagi memastikan parti terbesar orang Melayu itu terus gah dan relevan dalam pentas politik tanah air, demikian pandangan penganalisis politik tanah air.

Meskipun terpalit dengan beberapa isu yang meresahkan anggota akar umbi, apa yang diperlukan parti ketika ini ialah sokongan kuat dan kesetiaan anggota terhadap presiden parti bagi membolehkan UMNO terus menongkah arus politik semasa.

Seramai 5,738 perwakilan yang akan menghadiri perhimpunan tahunan itu pastinya dituntut merapatkan barisan dan menyatakan wala' (kepatuhan) seperti mana yang dizahirkan kepada pemimpin terdahulu.

Penganalisis politik Prof Madya Mohd Izani Mohd Zain dari Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia berpendapat UMNO akan mampu mengharungi sebarang cabaran seandainya setiap anggota parti memberikan sokongan padu dan memahami fungsi serta peranan masing-masing.

"Sokongan akar umbi amat penting demi kelangsungan parti. Wala' atau kepatuhan kepada pemimpin sememangnya amat penting tetapi dengan cabaran semasa, setiap parti tidak terlepas daripada krisis keyakinan terhadap pemimpin," katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut, beliau berkata setiap pemimpin utama parti dan negara pernah melalui ujian pada zaman masing-masing dan Datuk Seri Najib Tun Razak juga tidak terlepas daripada diduga dengan isu-isu yang mencabar kewibawaannya.

"Apa pun keadaannya, UMNO sebagai parti tunjang kepada kerajaan perlu mengambil sikap proaktif dalam isu-isu yang berbangkit," katanya.

Mohd Izani berkata pemimpin-pemimpin sebelum ini berjaya mengharungi segala rintangan dan cabaran yang membadai UMNO dan negara hasil sokongan padu dan kepercayaan penuh anggota parti terhadap pucuk pimpinan.

Justeru, bukanlah suatu perkara luar biasa jika perhimpunan kali ini menuntut para perwakilan menyatakan pendirian mereka untuk bersama-sama menyokong teguh Najib seperti mana yang pernah ditunjukkan kepada pemimpin terdahulu.

Pada Jun 2003, Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang ketika itu merupakan timbalan presiden UMNO, berkata anggota dan para pemimpin UMNO perlu mematuhi nasihat Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad (sekarang Tun) supaya setia kepada kepimpinan bagi mengekalkan perpaduan dan kekuatan parti serta negara.

Dr Mahathir ketika itu ialah presiden UMNO dan perdana menteri.

Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Raub, Pahang Che Hamdan Che Mohd Razali pula berpandangan bahawa UMNO adalah parti yang mempunyai organisasi tersusun dan setiap tindakan perlu dibuat secara kolektif.

"Maka adalah penting untuk perwakilan menyatakan kesetiaan mereka kepada presiden memandangkan ia dipilih oleh anggota akar umbi.

"UMNO mempunyai pengalaman luas dalam konteks pengurusan krisis dalaman dan luaran parti. Bagi saya sekiranya semua peringkat kepimpinan memainkan peranan masing-masing, parti dapat menangani sebarang krisis," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Pahang Mohd Shahar Abdullah berkata slogan parti iaitu 'Bersatu, Bersetia, Berkhidmat' perlu dihayati semua anggota bagi memastikan UMNO terus utuh dan bersatu padu.

Katanya slogan, yang saling berkaitan antara satu sama lain, telah terbukti berjaya membawa UMNO menempuh pelbagai cabaran dan ranjau sejak sekian lama.

"Cuba kita (anggota UMNO) fahami kenapa slogan itu menyentuh tiga aspek iaitu bersatu, bersetia, berkhidmat? Kita kena bersatu untuk pastikan UMNO kuat. Kita kena bersetia untuk pastikan UMNO mencapai objektifnya dan kita kena berkhidmat agar UMNO terus unggul di mata rakyat," katanya.

Oleh yang demikian, kata Mohd Shahar para anggota Umno hendaklah kembali kepada matlamat perjuangan asal dan memahami maksud slogan untuk memastikan UMNO sentiasa kukuh dan mampu menangani segala cabaran bersama.


0 comments:

share2