Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, December 27, 2015

GARA-GARA CURI SUMBU BADAK SULTAN


Gara-gara curi sumbu badak Sultan


Johor Bahru - Seorang pegawai kerajaan ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, kira-kira jam 9 malam kelmarin kerana disyaki mencuri sumbu badak milik Muzium Diraja Johor, 21 Oktober lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati pegawai kerajaan itu mengambil sumbu badak yang sedang dijemur di Pejabat Penyimpanan Barangan Muzium Diraja Johor.

Menurutnya, siasatan mendapati pegawai berusia 46 tahun itu mengambil sumbu badak ketika berjalan pulang selepas selesai mesyuarat bersama beberapa jabatan kerajaan lain di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, di sini, kira-kira jam 2.30 petang hari berkenaan.

“Pegawai yang baru bertukar dari Terengganu ke negeri ini Ogos lalu telah kita reman untuk siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

“Ia tidak sepatutnya berlaku kerana sumbu badak berusia lebih 100 tahun itu merupakan hak milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang diwarisi daripada keturunan baginda sejak berzaman,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen, semalam.

Wan Ahmad Najmuddin berkata, sumbu badak berkenaan bagaimanapun telah dikembalikan pemandu pegawai itu selepas beberapa hari menyimpan di pejabatnya.

Menurutnya, sumbu badak itu dikesan hilang oleh kakitangan Muzium Diraja Johor ketika dijemur dan mendapati diambil seorang pegawai kanan kerajaan yang ke bangunan itu untuk menghadiri mesyuarat.

“Harga sumbu badak itu memang tidak ternilai kerana ia berusia lebih 100 tahun dan milik Tuanku.

“Ini merupakan satu pengajaran kerana mengambil hak orang adalah satu kesalahan yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Bagi kesalahan kedua atau seterusnya boleh dikenakan penjara dan denda atau sebat,” katanya.


0 comments:

share2