Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, December 27, 2015

120 PESERTA DIRAI SEPERTI RAJA SEHARI


120 peserta dirai seperti raja sehari


Hulu terengganu - Menyebut mengenai berkhatan atau bersunat pastinya ada dalam kalangan anak-anak lelaki yang belum disunatkan lagi kecut perut kerana beranggapan ia suatu proses menyakitkan, selain penuh dengan debaran.

Biarpun kini teknik berkhatan secara moden digunakan bagi menggantikan khidmat Tok Mudin yang menggunakan alatan seperti batang pisang dan pisau khas, namun tradisi berkhatan beramai-ramai masih lagi dikekalkan khususnya dalam kalangan masyarakat kampung.

Penulis berpeluang menyaksikan kemeriahan sambutan Program Khatan Perdana Dun Telemong 2015 melibatkan 120 peserta yang dirai seperti raja sehari setelah diarak menggunakan tandu sambil diiringi bacaan selawat, bunga manggar serta pulut kuning.

Malah, program diadakan di kampung tradisi iaitu Kampung Dusun itu rasa seperti kembali ke zaman silam dan begitu menggamit nostalgia apabila peserta turut berpeluang mandi serta berendam di sungai sebagaimana dilakukan orang terdahulu.

Tambah menarik, program anjuran Pejabat Dun Telemong itu juga disertai lima kanak-kanak Orang Asli dari perkampungan Sungai Berua, selain pertandingan tandu tercantik dan sumbangan kepada murid dalam Dun Telemong yang cemerlang UPSR 2015.

Direndam dalam sungai

Menurut Adun Telemong, Datuk Rozi Mamat, majlis sedemikian bertujuan bagi memastikan tradisi lama terus dapat dipertahankan kerana ia sebahagian daripada budaya kehidupan dan adat masyarakat Melayu serta satu kerugian jika dibiarkan terkubur.

Beliau berkata, mungkin dari segi teknik berkhatan, peserta sekarang tidak lagi disunatkan secara tradisional oleh Tok Mudin menggunakan batang pisang dan pisau selaras dengan perkembangan teknologi, namun elemen tradisi masih boleh dikekalkan lagi dari aspek sambutan.

“Sebagaimana masyarakat dahulu yang bergotong-royong mengadakan kenduri atau persiapan apabila anak mereka bersunat.

“Hari ini kita turut lakukan sedemikian apatah lagi komuniti kampung masih menebal dengan semangat kerjasama,” katanya.

Menurut Rozi, kemeriahan sebenar majlis bukan terletak kepada besar atau kecilnya peruntukan, tetapi dengan adanya kemuafakatan masyarakat kampung serta ibu bapa yang berganding-bahu dalam pelbagai perkara termasuk menyediakan kenduri kampung.

“Bagi menjadikan sambutan majlis lebih tradisi, peserta juga dibiarkan berendam beramai-ramai dalam sungai sebelum menjalani proses berkhatan.

“Kita ingin menghidupkan suasana keraian sebagaimana suatu masa dahulu,” katanya.

Tambah Rozi, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, elemen sambutan diadaptasikan mengikut budaya lama itu diharapkan dapat memberi pendedahan kepada generasi baharu dan akan mewarisinya pada masa akan datang sebagai kesinambungan.

Katanya lagi, penglibatan anak-anak Orang Asli dalam majlis tersebut adalah julung kali dan ia secara tidak langsung membuktikan program sedemikian mampu menarik minat masyarakat berkenaan, sekali gus menunjukkan pergaulan komuniti itu sudah terbuka.

Tarik minat Orang Asli

Sementara itu, bapa kepada salah seorang kanak-kanak Orang Asli terlibat, Samad Kadir, 36, berkata, kehadirannya dalam majlis berkenaan memberikan pengalaman baharu dan menarik untuk dikenang kerana kali pertama terlibat secara langsung.

Katanya, sebelum ini dia tahu masyarakat Melayu memang bersunat beramai-ramai, tetapi kali ini anak sulungnya, Shamsul, 9, pula menjadi peserta.

“Sebagai bapa, sudah tentu saya perlu berada sepanjang majlis bermula dari sambutan hinggalah selesai berkhatan.

“Walaupun agak kekok kerana ramai orang, namun saya dapat rasa meriahnya, apatah lagi anak saya sudah lama menyimpan hasrat untuk melangkah ke alam remaja bersama rakan Melayu. Lagipun bersunat ini baik untuk kesihatan,” ujarnya.

Kata Samad, memandangkan majlis berkhatan adalah sebahagian daripada adat budaya, sudah tentu ia perlu dipelihara dengan sebaik mungkin.

“Apabila adanya majlis berkhatan beramai-ramai dirai dengan penuh tradisi sudah tentu ia satu cara yang baik. Saya juga boleh lihat budaya ini dengan lebih jelas,” katanya.


0 comments:

share2