Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, December 8, 2015

BUKA PINTU MASYARAKAT DALAM AL-QURAN


Buka pintu masyarakat dalami al-Quran


Alor Gajah - Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (Permata Al-Quran) berharap lebih banyak lagi madrasah tahfiz membuka pintu buat masyarakat luar untuk mendalami al-Quran menerusi program Rumah Ngaji.

Presidennya, Manolito Mohd Dahlan berkata, kebanyakan madrasah tahfiz hanya bersifat eksklusif dan tidak membuka ruang kepada masyarakat sekitar untuk sama-sama memanfaatkan kewujudannya.

Justeru itu, katanya, melalui program Rumah Ngaji melalui kerjasama antara Permata Al-Quran dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (YWUI) yang dinaungi Kumpulan Media Karangkraf akan membuka pintu kepada masyarakat luar dari setiap lapisan tanpa mengira usia, sama ada kanak-kanak mahupun warga emas mengenal, belajar, fahami al-Quran sekali gus mengamalkannya.

“Saya harap masyarakat rebut peluang ini (Rumah Ngaji) kerana dengan kekuatan yang dimiliki madrasah tahfiz dari segi tenaga pengajar mahir, institusi berdaftar dan bangunan persendirian, beliau yakin pembelajaran al-Quran dapat dipasarkan dengan lebih baik kepada masyarakat.

“Menariknya, program ini percuma dan kelebihannya, masyarakat yang ada perasaan malu dan segan, barisan guru-guru bersedia memberikan bimbingan khusus, terutama di kalangan mereka masih tidak betul dari segi tajwidnya,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Rumah Ngaji di Madrasah Al-Qurra’ Simpang Ampat yang dilancar Pengerusi YWUI, Datuk Abd Jalil Ali.

Turut sama, Pengerusi Madrasah Al-Qurra’ yang juga Timbalan Permata Al-Quran, Profesor Madya Musa Ahmad.

Sementara itu, Abd Jalil berkata, program Rumah Ngaji sebahagian usaha Kumpulan Media Karangkraf menerusi YWUI dalam dan Permata Al-Quran untuk membudayakan al-Quran di kalangan masyarakat.

“Bagi yang mencari platform untuk belajar mengaji, Rumah Ngaji menyediakan ruang dan peluang pembelajaran al-Quran secara percuma.

“Al-Quran bukan sahaja untuk dibaca, tetapi difahami, diamal dan disampaikan kepada orang lain. Justeru, adalah menjadi usaha kami untuk menghidupkan suasana masyarakat yang suka mengaji dan membaca al-Quran di mana sahaja mereka berada,” katanya.

Dalam pada itu, Musa berkata, Madrasah Al-Qurra’ yang diasaskan sejak 2008 dan berdaftar dengan Majlis Agama Islam Melaka (Maim) serta Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) muncul sebagai pusat pengajian tahfiz pertama di negeri ini yang membuka pintu masyarakat luar, terutama di sekitar Taboh Naning untuk mempelajari al-Quran.


0 comments:

share2