Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, November 15, 2015

WARGA EMAS MELAMBUNG, TERGOLEK


Warga emas melambung, tergolek


Bachang - Seorang warga emas tidak sempat membawa pulang barangan dapur yang dibelinya dari sebuah pasar raya berhampiran di sini apabila dia menemui ajal selepas motosikal yang ditungganginya terlibat dalam satu kemalangan dengan sebuah bas ekspres di Jalan Tun Fatimah, di sini, malam kelmarin.

Kejadian berlaku lebih kurang jam 7.30 malam dan difahamkan, mangsa, Syarifah Badariah Said Mahmud, 57, dari Limbongan dipercayai mahu pulang ke rumah selepas membeli barangan dapur berkenaan.

Saksi kejadian, Nurul Natasha Mohd Atan, 24, berkata, lebih kurang jam 7.30 malam, dia memandu kereta berada di persimpangan keluar dari pasar raya terbabit dan motosikal Honda EX5 ditunggang Syarifah Badariah, betul-betul di hadapan keretanya.

“Waktu itu saya lihat motosikal mangsa keluar dari simpang untuk ke kiri jalan sebelum tiba-tiba sebuah bas ekspres dari arah Bachang ke Batu Berendam melanggar motosikal terbabit menyebabkan mangsa melambung dan tergolek ke atas rumput di kiri jalan.

“Saya segera berhentikan kereta dan pada awalnya mangsa masih menggeletar lalu saya hubungi talian kecemasan untuk dapatkan bantuan,” katanya.

Sementara itu, pemandu bas ekspres berusia 45 tahun itu berkata, dia tidak menyangka mangsa bertindak keluar dari simpang ketika bas dipandunya sudah menghampiri simpang.

Katanya, bas dipandu dari Johor Bahru dan dijangka menurunkan penumpang di hentian bas di Melaka Sentral pada jam 8.30 malam.

Dalam pada itu, sumber polis berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila bas datang dari arah lampu isyarat Bachang ke Melaka Sentral dan sejurus tiba di lokasi kejadian di Jalan Tun Fatimah, sebuah motosikal jenis Honda EX5 ditunggang mangsa sendirian, keluar dari persimpangan dan memasuki laluan bas sebelum bas terbabit melanggar bahagian kanan belakang motosikal terbabit.

Ketua Polis Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas disahkan pihak perubatan Hospital Melaka.

“Kita akan melakukan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan motosikal serta bas ekspres terbabit ditahan untuk pemeriksaan Puspakom,” katanya ketika dihubungi.


0 comments:

share2