Batu Kurau – Sedangkan rindu setahun tidak tertanggung, inikan pula tidak bersua muka lebih empat dekad lamanya. Itu dirasai seorang abang yang terputus hubungan dengan adik kandung selama 44 tahun.
Hasan Ahmad, 74, kali terakhir melihat adiknya, Yahya, 70, adalah pada 1971.
Perpisahan berlaku apabila, Yahya ketika itu berusia 26 tahun mengikut seorang lagi rakan sekampung merantau ke Sabah untuk bekerja sebagai buruh.
Namun tempoh dua tahun ditetapkan untuk pekerjaan itu tidak membawa Yahya pulang ke kampung apabila dia mengambil keputusan untuk menetap terus di Sabah.
Dalam tempoh itu, tiada surat mahupun telefon dapat menghubungkan mereka berdua menyebabkan Hasan menyangka adiknya itu sudah ‘tiada’.
Namun, kuasa viral berjaya menemukan mereka semula apabila anak sulung Hasan, Suffian, 34, melihat wajah Yahya yang dipaparkan dalam Facebook seiras ayahnya yang tinggal di Kampung Changkat Lobak, di sini.
Sekitar tiga hari lalu, ramai yang berkongsi status dimuat naik pemilik akaun Facebook, Herman Bin Haulanah Herman yang mahu membantu seorang pakcik pulang ke pangkuan keluarganya.
‘Pakcik ni berasal dari Kampung Changka (Changkat) Lobak, Batu Kulau (Kurau), Taiping Perak berada di Tawau sejak 1970 lagi. Mohon sebarkan maklumat ini. Dia berhasrat pulang ke pangkuan keluarga asal, kini dia hidup sebatang kara di belakang Maybank Tawau, Sabah', itu status yang dipaparkan, malah Mykad dan gambar Yahya turut disertakan.
Wajah Hasan bercahaya apabila mendapati lelaki yang digambarkan tinggal sebatang kara di Tawau dengan menjadikan kaki lima sebagai tempat tinggal itu adalah adiknya yang sudah lama hilang.
Tak sabar mahu bertemu
Hasan atau lebih mesra disapa Pak Long mengakui, dia tidak sabar untuk bertemu dengan adik kandungnya itu setelah difahamkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedia membantu membawa warga emas itu pulang ke Semenanjung.
“Sudah bertahun lamanya, baru semalam (kelmarin) saya dapat melihat Yahya menerusi gambar dalam Facebook. Pada mulanya, anak-anak tanya adakah saya kenal dengan lelaki yang dihebohkan itu.
“Setelah saya perhatikan, saya beritahu anak-anak, inilah Pak Ngah yang selalu saya ceritakan kepada mereka. Saya bersyukur dia selamat walaupun difahamkan keseorangan di sana,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, di sini semalam.
Pujuk tinggal bersama
Hasan berkata, apabila Yahya kembali ke kampung halaman nanti, dia akan membawa satu-satunya saudara kandungnya yang masih hidup itu tinggal bersamanya.
Dia pasti, banyak cerita mahu dikongsi mereka berdua termasuk kisah kematian adik bongsu, Saleh, lapan tahun lalu.
“Tak tahu sama ada untuk menjemputnya di lapangan terbang ataupun di sini (kampung)..yang pasti saya akan membuat kenduri doa selamat sempena kepulangan dia.
“Terima kasih kepada individu yang prihatin dengan nasib Yahya di sana hingga jadi viral serta menemukan kembali kami nanti, saya dah tak sabar nak tunggu saat itu,” katanya.
Mengimbau kembali usaha mencari adiknya itu, Hasan berkata, dia sentiasa mendoakan keselamatan Yahya setelah difahamkan adiknya itu mahu terus menetap di Sabah setelah tamat tempoh bekerja.
“Kali terakhir saya dengar dia sudah berkeluarga dan ada anak di sana. Dalam tempoh itu, Yahya tidak pernah balik kampung, tapi saya tidak lupa berpesan kepada orang kampung yang ke Sabah untuk mencari dia,” katanya.
Sekitar 1971, Hasan tidak dapat mengikuti Yahya ke Sabah kerana perlu menjaga adik bongsu mereka, Saleh yang ketika itu berusia 21 tahun setelah kematian ibu bapa.
Usaha cari waris
Kisah dua beradik ini bermula dengan keprihatinan Adun Batu Kurau, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria yang terbaca status diviralkan itu, sebelum bertindak mencari waris Yahya dengan bantuan JKM.
“Pencarian akhirnya menemui Pak Long dalam kalangan penduduk kampung. Hasil perbualan dengannya, barulah kami pasti Pak Long adalah abang kepada Yahya yang telah lama menghilang,” katanya.
Beliau berkata, pengesahan waris itu penting apabila dimaklumkan, Yahya enggan pulang ke tempat kelahiran kerana tidak yakin dapat membina kehidupan baharu di kampung.
“Tapi setelah memaklumkan dia masih mempunyai waris iaitu abang kandung sendiri, baru dia nak balik,” katanya.
Muhammad Amin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau berkata, kerajaan negeri akan berusaha membawa pulang Yahya untuk ditemukan semula dengan Pak Long, sebaik laporan JKM dilengkapkan.
“Ini juga adalah harapan Pak Long yang mahu bertemu adiknya itu sekian lama. Kita akan sambut ketibaan Yahya setelah JKM selesai mengikut prosedur tertentu,” katanya.
Beliau berkata, kisah pertemuan dua beradik terbabit adalah contoh penggunaan viral secara positif yang perlu dicontohi pengguna laman sosial.
0 comments:
Post a Comment