Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, November 23, 2015

TANAH RUNTUH HALANG LALUAN DI JALAN SUNGAI LEMBU


Bomba


Bukit Mertajam - Jalan Sungai Lembu menghala ke Empangan Mengkuang di sini ditutup sementara selepas berlaku tanah runtuh selepas hujan lebat yang menghalang laluan kenderaan di kawasan berkenaan semalam.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang pihaknya menerima panggilan pada pukul 6.58 petang dan sepasukan lima anggota serta sebuah jentera bergegas ke lokasi.

"Sebaik tiba di lokasi didapati berlaku tanah runtuh dan menghalang laluan kenderaan, penyelia mengarahkan anggota bomba membuat 'size up' dan mengarahkan anggota membuat pemantauan.

"Selepas pemeriksaan di kawasan tanah runtuh yang dianggarkan seluas 15 kaki persegi itu, kami mendapati tiada mangsa atau kenderaan yang terperangkap," katanya di sini malam tadi.

Katanya berdasarkan maklumat, ketika kejadian tiada kenderaan yang melalui kawasan itu dan jalan raya berkenaan jauh dari kawasan perumahan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Superintendan Baharom Abu ketika dihubungi berkata kejadian itu dipercayai berlaku selepas tanah dari kawasan Bukit Lengkok yang terletak bersebelahan jalan raya berkenaan runtuh.

"Kami telah menghubungi Jabatan Kerja Raya bagi memaklumkan kejadian tanah runtuh itu dan ketika ini mereka sedang menjalankan kerja pembersihan di kawasan terbabit," katanya.

Beliau berkata polis juga menutup sementara jalan berkenaan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini dan orang ramai yang ingin melalui laluan itu dilencongkan ke jalan lain.

Katanya anggota polis juga ditempatkan di kawasan berkenaan bagi melancarkan laluan trafik.

Tanah runtuh itu dipercayai berlaku ekoran hujan lebat di kawasan berkenaan sejak pukul 4 petang semalam.


0 comments:

share2