Bakat lakonannya tidak perlu dipertikaikan lagi. Maka tidak hairanlah si cilik ini di lamar membintangi siri Original HBO Asia, Halfworlds, Ditemui ketika pelancaran siri tersebut, Putri Balqis Azizi atau lebih mesra disapa Aqish mengakui berdebar menantikan respons daripada peminat.
Tambahan pula, drama bersiri lapan episod itu memperlihatkan kebolehannya bertutur dalam bahasa Inggeris sepenuhnya.
“Saya disapa oleh HBO Asia sejurus menerima trofi Pelakon Wanita Terbaik Asia di Asian Television Awards 2014 (ATA 2014).
“Tapi, sebelum diterima berlakon, saya perlu menjalani uji bakat menerusi video.
“Lebih teruja apabila saya diberitahu diterima untuk memegang watak sebagai Tari iaitu seorang kanak-kanak perempuan buta,” katanya.
Siri Halfworlds bakal menemui penonton di saluran HBO (Astro 411) dan HBO HD (Astro 431) bermula 29 November depan, jam 10 malam.
Dalam perkembangan lain, Aqish turut meluahkan perasaan terujanya apabila bakal menjadi pelakon kanak-kanak pertama menghiasi slot Akasia di TV3 menerusi drama bersiri, Akulah Balqis.
Ini kerana, bintang drama Nur Ramadan ini akan memegang watak utama dan bergandingan dengan pelakon berkaliber seperti Nabila Huda, Airel Zafril dan Nazim Othman.
“Drama itu bukanlah mengenai saya, cuma saya tumpang bangga kerana ia adalah drama pertama di slot Akasia yang menjadikan kanak-kanak sebagai fokus jalan penceritaan,” katanya yang akan terlibat dalam filem Upin Ipin Jeng Jeng Jeng!.
Kerap ditawarkan dengan watak air mata, pelakon cilik, mengakui bimbang dengan penerimaan penonton terhadap lakonannya pada masa hadapan.
Sehubungan itu, pelakon berusia lapan tahun ini mahu mengehadkan kemunculannya dalam watak air mata lantaran sudah terlalu biasa membawakan peranan tersebut.
“Kalau nak tahu, watak air mata dan selalu menangis sebenarnya agak susah. Kalau saya selalu bawa watak sedih, nanti orang ingat saya ini selalu bersedih sahaja.
“Sebenarnya, saya impikan watak seorang psiko kerana cabarannya yang sangat besar. Tapi, saya masih belum berpeluang. Insya-ALLAH, suatu hari nanti pasti ada rezeki untuk saya,” kata Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Skrin 2014.
0 comments:
Post a Comment