Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, November 13, 2015

PENGARAH AGENSI KERAJAAN DIREMAN


Pengarah agensi kerajaan direman


Ipoh – Seorang pengarah di sebuah jabatan kerajaan persekutuan bersama pegawainya ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan kes berhubung dakwaan menerima suapan secara bulanan sebanyak RM7,000 terhadap pemilik premis hiburan di Sitiawan.

Pengarah berusia 43 tahun itu dan pegawai penguatkuasa berusia 47 tahun ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira jam 9.55 malam dan 12.10 pagi di dua lokasi berbeza sejak kelmarin.

Kedua-dua suspek tiba di Mahkamah Majistret pada kira-kira jam 2.45 petang bagi mendapatkan perintah reman.

Perintah tahanan reman itu yang berkuat kuasa semalam, dikeluarkan oleh Majistret Nurul Asyifa Redzuan di Mahkamah Majistret di sini bagi menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009.

Ini bagi membolehkan untuk mengesan rantaian sindiket didakwa melibatkan orang tengah yang dipercayai turut melibatkan warga asing.

Terdahulu, Pegawai Penyiasat SPRM membuat permohonan reman selama tujuh hari bagi mengelak suspek memusnahkan barang kes dan dokumen berkaitan selain mengesan rakan subahat lain di negeri ini.

Bagaimanapun, kedua-dua suspek yang diwakili peguam, Datuk Naran Singh meminta jumlah reman berkenaan dikurangkan kepada dua hari atas alasan kesihatan. 

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri, Datuk Nooraziah Abd Manaf ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap dua pegawai kanan terbabit.


0 comments:

share2