Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, November 13, 2015

‘NEK.. AYAH DAH MENINGGAL'


‘Nek.. ayah dah meninggal’


Masjid Tanah - “Nek.. ayah dah meninggal, badan ayah besar, bau busuk,” kata kanak-kanak berumur 6 tahun kepada neneknya, sekali gus membongkar kematian ayahnya, Hairul Azian Ismail, 39, yang dipercayai telah meninggal dunia dua hari lalu di sebuah rumah, di sini, semalam.

Ahli JKKK Ayer Hitam Darat, Mukmin Wahid berkata, dia hanya menyedari lelaki itu meninggal dunia setelah ke rumah batu didiami Allahyarham bersama isteri dan tiga anaknya berumur 2, 3 dan 6 tahun lebih kurang jam 10 pagi.

Menurut beliau, pada mulanya, ibu mertua Allahyarham memintanya melihat mangsa yang dipercayai tidak sihat dan berada dalam rumah selepas anak sulungnya mengadu ayahnya telah meninggal dunia.

Katanya, ketika masuk ke rumah itu, dia mendapati pintu bilik Allahyarham tertutup rapat sebelum membuka dan menemui mayatnya terbujur dengan keadaan tubuh membengkak selain bau kurang menyenangkan.

“Saya terkejut nampak mayatnya sudah bengkak jadi terus maklumkan keluarga sebelah Allahyarham yang tinggal berdekatan sebelum mereka melaporkan kepada polis.

“Saya tak tahu dia (Allahyarham) sakit apa tapi sebelum ni dia pernah dua kali pitam ketika hendak dirikan solat di masjid.

“Kali terakhir saya nampak Allahyarham dua hari lalu ketika minum di sebuah kedai. Dia suka keluar memancing, tapi lepas itu saya lihat motosikalnya tak bergerak seperti biasa, saya tak syak apa-apa,” katanya.

Tambah Mukmin, biarpun ketika kejadian isteri mangsa berada di dalam rumah, dia yang juga seorang guru tidak memaklumkan kepada sesiapa termasuk ibunya yang tinggal berdekatan mengenai kematian Allahyarham kerana dipercayai mengalami tekanan mental.

Menurutnya, difahamkan isterinya juga tidak membenarkan anak mereka membuka pintu bilik Allahyarham sejak dua hari lalu agar tidak mengganggu mangsa yang demam.

“Masa saya datang isterinya tak menunjukkan sebarang reaksi sedih dan hanya kata dia dah mati. Orang kampung memang mengetahui isterinya sakit,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ayer Hitam Darat.

Sementara itu, Ketua Polis Alor Gajah Superintendan Muhamad Ismail Muhamad Yusuf ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.


0 comments:

share2