Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, November 17, 2015

[MARAN] - BANTU TAMPUNG KEKURANGAN BOT

Bantu tampung kekurangan bot




Pejabat Parlimen Maran menyalurkan sumbangan lapan bot berserta enjin kepada enam pangkalan hadapan dan dua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk kegunaan semasa bencana banjir.

Kelengkapan bot dan enjin 30 kuasa kuda bernilai RM15,000 setiap satu itu akan diletakkan di pangkalan hadapan Chenor Bandar, Pekan Tajau, Serengkam, Luit 1, Luit II dan Chenor Kuala sentul.

Manakala JKKK Paya Besar dan Kuala Wau turur menerima sumbangan sama bagi menampung kekurangan bot ketika banjir.

Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata, masalah kekurangan bot antara permasalahan dibangkitkan petugas seperti mana yang dihadapi pada bencana tahun lalu.

Menurutnya, bot yang disumbangkan itu dapat menampung keperluan pelbagai pihak yang mahu menyalurkan bantuan kepada mangsa selain dapat digunakan secara terus.

“Ada jawatankuasa yang diamanahkan untuk menjaga bot berkenaan bagi mempermudahkan proses penghantaran bantuan makanan dan pemantauan.

“Seperti kita sedia maklum jika berlaku banjir, kebiasaan kawasan di seberang Chenor akan dinaiki air atau terkepung dan terputus hubungan darat.

“Ketika ini, penggunaan bot sangat penting dan penghantaran makanan terganggu sekiranya kekurangan bot,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan bot dan enjin kepada pangkalan hadapan sempena program latihan dalam perkhidmatan boatman (OP Banjir 2015/2016) bagi daerah Maran, di sini.

Ismail berkata, pangkalan hadapan memainkan peranan utama sebagai lokasi penghubung ke kawasan bencana dengan pusat pemindahan.

Beliau turut menasihati penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir terutama di tepi Sungai Pahang agar mengambil langkah berjaga-jaga menjelang musim tengkujuh tidak lama lagi.

Katanya, penduduk perlu mengikut arahan pihak berkuasa dan berpindah apabila diminta berbuat demikian demi keselamatan diri serta keluarga.




0 comments:

share2