Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, November 5, 2015

BINA RAK, PASANG PERANCAH BESI PERSIAPAN BANJIR


Bina rak, pasang perancah besi persiapan banjir


Hulu Terengganu - Pengalaman saban tahun menjadi mangsa banjir setiap kali musim tengkujuh melanda membuatkan komuniti di sini lebih bersedia dengan mengambil langkah serta melakukan persiapan awal bagi mengurangkan risiko kerugian akibat kemusnahan barang.

Tinjauan Sinar Harian kelmarin di Kampung Pengkalan Ajal mendapati, rata-rata mangsa banjir telah pun melakukan beberapa persiapan awal dengan meletakkan barangan di tempat tinggi termasuk memasang perancah besi dalam rumah serta membina rak.

Berkongsi pengalaman, Alias Hasan,45, berkata, rumahnya antara lokasi awal dinaiki air berikutan kedudukannya berhampiran Sungai Berang dan saban tahun dia sekeluarga antara penduduk terawal berpindah ke pusat pemindahan banjir.

“Sejak 10 tahun saya menjadi mangsa banjir sehinggakan setiap kali musim tengkujuh saya sekeluarga terus diselubungi kebimbangan kerana khuatir rumah ditenggelami air. Saban tahun juga alami kerugian dengan jumlah berbeza.

“Pengalaman tersebut membuatkan saya lebih bersedia dan apabila sudah menghampiri musim monsun, pasti saya akan memindahkan barangan dalam rumah ke tempat lebih tinggi secara beransur-ansur.

“Saya juga turut membina rak di dalam rumah bagi menyimpan barang selain turut memasang perancah besi untuk meletakkan peralatan lebih berat seperti barang-barang elektrik. Paras air ketika banjir di kawasan ini boleh mencecah kedalaman kira-kira 2.5 meter,” katanya.

Tambah Alias, sebagai langkah terbaik untuk tidak terus menanggung kerugian lebih besar akibat banjir dia juga tidak lagi membeli perabot kayu di rumahnya kerana mudah rosak selain agak sukar untuk dialihkan.

Katanya, musim tengkujuh lalu dia sekeluarga menghuni di pusat pemindahan banjir selama enam hari manakala air bertakung di kawasan rumahnya lebih daripada 10 hari sebelum surut sepenuhnya.

Seorang lagi penduduk, Saari Abdullah, 38, berkata, keadaan cuaca tidak menentu ketika ini memberi amaran supaya dia dan penduduk lain yang sering menjadi mangsa banjir membuat persiapan awal dengan mengalih barangan ke tempat lebih selamat.

“Berdasarkan senario sebelum ini, air sungai melimpah pantas hingga menyebabkan air banjir di kawasan rumah penduduk naik mendadak dan kerana itulah majoriti penduduk di sini melakukan persiapan awal bagi menghadapi musim tengkujuh.

“Pelbagai kaedah digunakan untuk menyimpan barangan termasuklah membina rak dan memasang perancah. Banyak barangan terutama pakaian serta peralatan elektrik disimpan atas rak, manakala dokumen penting serta sedikit pakain dibawa ke pusat pemindahan,” ujarnya.


0 comments:

share2