KUALA TERENGGANU - Luluh hati seorang bapa apabila melihat bayi perempuan berusia empat bulan menanggung kesakitan dipercayai dibiarkan digigit oleh salah seorang kanak-kanak di bawah jagaan sebuah taska di bandaraya di sini, kelmarin.
Bapa bayi itu yang berusia 34 tahun berkata, kejadian malang yang menimpa anak keempatnya hanya diketahui lebih kurang jam 1.10 petang selepas diberitahu oleh isterinya yang menerima panggilan dari taska tersebut memaklumkan anaknya digigit.
“Sejurus menerima berita berkenaan, saya bersama isteri terus bergegas ke taska dan setibanya di sana, saya dapati ada kesan luka dan darah di sebahagian muka anak saya.
“Meskipun ketika itu dia sudah tidak menangis tetapi saya yakin betapa deritanya dia semasa diperlakukan sedemikian rupa,” katanya penuh kesal ketika ditemui di perkarangan Hospital Sultanah NurZahirah (HSNZ) disini, semalam.
Menurutnya, pihak taska memaklumkan anaknya telah digigit oleh salah seorang kanak-kanak berusia setahun daripada lebih kurang 20 kanak-kanak asuhan yang di tempat bersama-sama.
“Jawapan yang diberikan itu begitu mengecewakan saya kerana sebelum ini pihak mereka berjanji akan mengasingkan anak saya yang secara kebetulan hanya seorang sahaja kategori bayi.
“Saya sanggup membayar yuran bulanan RM400 sebulan yang dikenakan kerana pihak taska memberitahu sekiranya ingin mengasingkan anak, saya perlu membuat pembayaran seperti mana ditetapkan dalam pakej disediakan,” katanya.
Katanya lagi, sepatutnya pihak taska lebih bertanggungjawab dan tidak wajar bayi baru berusia empat bulan yang masih dibedung itu dicampur bersama-sama kanak-kanak yang sudah boleh berdikari.
Susulan kejadian, bapa bayi itu telah membuat laporan polis bagi tindakan lanjut manakala anaknya telah menerima rawatan lanjutan di HSNZ dan kini masih berada di wad kanak-kanak HSNZ.
“Saya dimaklumkan oleh pihak hospital, kecederaan luaran anak saya agak parah dan pihaknya akan membuat rawatan lanjutan kerana bimbang dia turut mengalami kecederaan dalaman terutamanya di bahagian mata, telinga dan kepalanya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan ada menerima laporan kejadian.
Katanya, pihaknya dimaklumkan bayi berkenaan telah digigit oleh seorang kanak-kanak berusia setahun yang turut di bawah jagaan pihak taska.
“Dalam kes ini, kita melihat lebih kepada kes sivil iaitu kecuaian pihak taska, tiada unsur-unsur jenayah.
“Kita serahkan kes berkenaan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut bagi membolehkan keluarga mangsa membuat tuntutan sivil,” katanya.
0 comments:
Post a Comment