Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, October 20, 2015

TERGUNA DUIT BAPA, PELAJAR BUAT LAPORAN PALSU


Angkara terguna duit bapa


Seremban - Gara-gara membelanjakan wang pemberian bapa terhadap perkara yang tidak sepatutnya, seorang pelajar pusat kemahiran sanggup membuat laporan palsu kononnya disamun pada 5 September lalu.

Namun, cubaannya memperdaya anggota polis yang bertugas mengambil keterangan telah menjerat diri sendiri lantas mengakibatkan dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban, di sini, semalam. 

Muhamad Amirul Firdaus Jafri Din, 18, dituduh berbuat sedemikian di Pejabat Detektif Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, sekitar jam 3.13 pagi.

Tertuduh yang mengaku bersalah kemudian dilepaskan dengan bon jaminan berkelakuan baik selama setahun sebanyak RM1,000 tanpa cagaran bawah Seksyen 173A Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).

Difahamkan, Amirul mereka cerita yang dia disamun dua lelaki tidak dikenali menunggang motosikal Yamaha 125Z dan Yamaha 135LC ketika melalui Jalan Desa Jasmin, Nilai, kira-kira jam 1.35 pagi.

Kedua-dua penjenayah dikatakan menghimpit motosikal tertuduh, sebelum salah seorang daripadanya melarikan beg pinggang Amirul yang diletakkan dalam bakul.

Justeru, perbuatan tertuduh merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Sebelum itu, sikap tertuduh yang tampak seakan tidak ikhlas ketika membuat rayuan bagi meringankan hukuman didapati menimbulkan rasa kurang senang Majistret Siti Khairiah Abdul Razak.

Alasan bahawa dia lupa diri ketika menyimpan RM550 berkenaan sehingga menjadi punca digunakan untuk meraikan rakannya, turut mengundang teguran Siti Khairiah.

“(Duit) itu amanah bapa kamu supaya kamu jaga (dengan baik). Tapi (macam) ini yang kamu buat. Kamu calarkan kepercayaan bapa. Patutnya kamu sudah matang berfikir.

“Hari ini kamu terguna duit bapa. Esok lusa bila sudah bekerja, ada majikan dan pegang duit lebih banyak dari itu, akan mendorong kamu untuk buat benda (tindakan) yang sama,” katanya yang mahu tertuduh mengambil iktibar kerana rekod jenayah dimiliki kekal sampai mati.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ainnan Mohd Rasid manakala tertuduh tidak diwakili peguam semasa prosiding dijalankan.

0 comments:

share2