Dalam usaha memelihara khazanah laut dan memberi ruang kepada proses pembiakan ikan atau hasil laut lain, tempoh musim tertutup bagi aktiviti penangkapan hasil laut cadang diwujudkan.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, cadangan itu telah dikemukakannya dan akan dibawa ke peringkat kementerian bertanggungjawab untuk dilakukan kajian atau penyelidikan.
“Cadangan musim tertutup ini diutarakan kerana hidupan laut juga memerlukan tempoh untuk membiak dan jika sepanjang tahun proses tangkapan dilakukan, maka tidak mustahil hasil laut yang suatu ketika dulu banyak kini semakin kurang.
“Ia akan diangkat ke kementerian bertanggungjawab dan kemudiannya akan dilakukan semakan bagi mengenal pasti bila bermula dan berapa lama tempohnya serta zon perikanan mana yang sesuai selain menjalankan kajian model sistem berkenaan yang dilakukan di luar negara,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Penyerahan Bantuan Input Perikanan Di Bawah Program Azam Tani Serta Elaun Sara Hidup Nelayan Darat Daerah Rompin anjuran Jabatan Perikanan Negeri bertempat di Pejabat Perikanan Daerah Rompin, semalam.
Seramai lima orang peserta di bawah Program Azam Tani menerima bantuan input perikanan berbentuk enjin dan bot fiber dengan kos keseluruhan adalah berjumlah RM45,000 manakala sejumlah 160 nelayan darat menerima elaun sebanyak RM200 seorang.
Pemberian elaun sara hidup nelayan darat itu telah diumumkan oleh Perdana Menteri semasa pembentangan bajet 2015 di mana setiap seorang akan mendapat RM200 sebulan bermula Januari 2015 dan setakat ini seramai 710 nelayan darat seluruh negeri Pahang telah menerimanya dengan peruntukan sebanyak RM1.278 juta.
Sementara itu, Shafik turut menyeru masyarakat yang melihat sebarang aktiviti penangkapan hasil laut dengan cara yang salah seperti menuba agar lebih prihatin dengan tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa supaya tindakan dapat diambil.
0 comments:
Post a Comment